BERA – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiada akta yang mewajibkan calon kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) mengisytiharkan harta sebaliknya ia boleh dilakukan atas kerelaan sendiri.
Sebaliknya Perdana Menteri berkata, hanya Menteri dan Timbalan Menteri yang dilantik dalam Kabinet akan diwajibkan untuk mengisytiharkan harta masing-masing.
“Kita buat perkara yang termasuk dalam akta, apabila sudah menang nanti Ahli Parlimen juga diminta untuk isytihar harta dulu tetapi tidak semua mengisytiharkan harta kerana tiada keperluan.
“Ahli Parlimen boleh berniaga tetapi Menteri, Timbalan Menteri wajib isytiharkan harta,”katanya dalam sidang akhbar pada Karnival Keluarga Malaysia Anak Muda Gegor Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini hari ini.
Pada 2 November lalu,Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Pandan mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih dianggarkan kira-kira RM18.85 juta.
Pengisytiharan itu dibuat susulan syarat PKR supaya semua calon parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berbuat demikian.
Ekoran tindakan Rafizi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan terhadap perisytiharan harta Timbalan Presiden PKR tersebut selepas suruhanjaya itu mendapati wujud asas untuk berbuat demikian.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, apa yang dilakukan oleh Rafizi adalah keputusannya sendiri dan kini beliau sudah disiasat oleh SPRM.
Menurutnya, Rafizi juga mungkin akan disiasat mengikut Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) susulan pengisytiharan hartanya.
“Ada yang menjadikan isu ini sebagai modal politik untuk menjadi perangkap kepada mereka yang tidak turut berbuat perkara sama,” katanya. – KOSMO! ONLINE