fbpx

PRU15: Anwar diminta lapor dakwaan tentera undi awal dibayar RM300

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAMZAH (tengah) beramah mesra bersama warga polis IPD Selama, Selama.

LARUT – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa ada anggota tentera mengundi pos di Parlimen Bera dibayar RM300 diminta tampil membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, siasatan terperinci akan dijalankan pihak polis bagi mengesahkan kesahihan dakwaan berkenaan.

“Kalau betul mereka (tentera) ini dibayar dan ada bukti, minta Anwar Ibrahim buat laporan polis. Undang-undang negara apabila ada laporan polis kita akan menjalankan siasatan secara mendalam,” katanya ketika ditemui pada program ramah mesra bersama warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan Anwar ketika berucap di satu majlis di Kuala Nerus, Terengganu bahawa ada anggota tentera dalam Parlimen Bera di Pahang sudah melaksanakan undi awal semalam.

Presiden PKR itu mendakwa, anggota tentera terbabit dibayar RM300 untuk berbuat demikian dan mempunyai bukti berkaitan dakwaannya itu.

Mengulas lanjut Hamzah turut memberi jaminan bahawa siasatan akan dilakukan secara adil meskipun ia didakwa berlaku di kawasan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Siasatan akan dilakukan secara adil tidak kira di mana (dakwaan itu berlaku) sekalipun di Bera. Walaupun calon (yang bertanding) merupakan Perdana Menteri.

“Sebab itu kalau dia betul-betul yakin ada (unsur rasuah), tunjukkan bukti dan insya-Allah kita akan ambil tindakan dan ia adalah mengikut perundangan yang ada dalam negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI