fbpx

Pemergian mengejut, hajat tak sampai Syazlin Zainal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMERGIAN Allahyarham Syazlin Zainal pada usia 26 tahun cukup mengejutkan ramai termasuklah kawan rapat dan rakan-rakan selebriti.

MINGGU ini, di sebalik hangatnya beberapa kisah sensasi membabitkan selebriti tanah air, ada berita duka mengundang hiba.

Dunia hiburan terkedu mendengar laporan berita kematian seorang pelakon dan juga model, Syazlin Zainal yang meninggal dunia secara tiba-tiba pada Khamis lalu.

Berita tersebut terlebih dahulu dimaklumkan rakan-rakan baiknya dan juga sepupu allahyarham menerusi perkongsian dalam Instagram masing-masing.

Perkhabaran duka tersebut kemudian disebarkan peminat dan individu yang mengenali allahyarham dalam Twitter.

Rakan baik Syazlin dikenali sebagai Zeatyalia pada awalnya enggan mendedahkan punca sebenar kematian pelakon drama Oh My Hantaran itu atas sebab untuk menghormati privasi keluarganya.

GAMBAR kenangan bersama Syazlin yang dimuat naik abangnya, Azri Azizi dalam Facebook.

Bahkan dia yang masih terkejut ketika menerima berita tersebut sukar menggambarkan perasaan yang dirasakannya ketika itu.

Lebih menyedihkan, ada beberapa hasrat Syazlin atau nama penuhnya Syazlin Suhaizan Zainal yang tidak sempat dilunaskan semasa hayatnya masih ada.

Seperti dikongsikan abangnya bernama Azri Azizi Zainal dalam Twitter, arwah sangat teringin bertemu dengan anak perempuannya yang baru dilahirkan pada bulan lalu.

“Hari ini, adik perempuan saya, Syazlin Zainal meninggal dunia. Baru sahaja berjumpa bulan lepas ketika isteri saya berpantang di kampung.

“Dia kata, nak sangat jumpa bayi perempuan kami yang baru dilahirkan, Aralyn. Sebab nama hampir sama dengan dia,” katanya.

Tambah Azri, dia memberi nama Aralyn kepada anak perempuannya itu disebabkan allahyarham yang lebih mesra disapa Alin.

“Saya pilih nama itu pun sebab Alin. Tetapi Aralyn takkan pernah dapat jumpa ibu saudaranya. Al-Fatihah,” tulisnya lagi.

Selain hasrat bertemu anak saudara tidak kesampaian, Syazlin yang dilaporkan meninggal dunia akibat terjatuh dari tingkat 22 di sebuah pangsapuri di Taman Iskandar, Johor Bahru, Johor tidak sempat meraikan sambutan hari lahirnya esok.

SEPANJANG kariernya, Syazlin pernah berlakon bersama Anna Jobling menerusi drama Dia Yang Ku Jadikan Suami.

Dia yang dilahirkan pada 14 November 1996 sepatutnya merancang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-26 bersama rakan.

Jumaat lalu, punca kematian Syazlin akibat terjatuh dari tingkat 22 di sebuah pangsapuri disahkan oleh Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat.

Siasatan awal polis tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (DSR).

Menurut Zeatyalia dalam perkongsian lain Instagramnya pada Jumaat lalu, jenazah allahyarham selamat dikebumikan di Keramat, Kuala Lumpur.

Sepanjang hayatnya, Syazlin yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik pernah membintangi sejumlah drama seperti Takdir Yang Tertunda, Potong, Dia Yang Ku Jadikan Suami dan Ada Yang Ngikut.

Pemergian pelakon itu pada usia yang sangat muda cukup mengejutkan ramai termasuklah rakan selebriti yang pernah bekerjasama dengannya sebelum ini seperti Anna Jobling, Nadia Brian dan Scha Elinnea.

Sementara pelakon Hun Haqeem dalam satu perkongsian Instagram menyifatkan allahyarham sebagai rakan yang sangat baik dan tidak pernah lokek dengan senyuman.

“Dia selalu senyum sahaja ketika di set penggambaran, sangat fokus dengan kerja dan selalu mahu berikan yang terbaik setiap hari dalam lakonannya,” ujar Hun.

Al-Fatihah buat Syazlin Zainal. Salam takziah buat seluruh keluarga. Semoga allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI