fbpx

Beli rumah mahal, terpaksa berkurung sebab bau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang penduduk menunjukkan debu putih yang terkumpul di balkoni rumahnya di Ozana Residen di Bukit Katil, Melaka.

MELAKA – Kira-kira 2,000 penduduk di Ozana Residen di Bukit Katil di sini terpaksa berkurung selama tiga tahun di dalam rumah kerana tidak sanggup menghidu bau busuk dipercayai gas ammonia yang didakwa dilepaskan kilang berdekatan.

Menurut penduduk, S. Devindran, 37, sejak membeli dan menetap di kediaman itu pada 2019, dia dan keluarganya tidak berpeluang berehat di luar rumah kerana tidak tahan bau busuk udara yang seakan-akan bahan terbakar.

“Sewaktu mula-mula berpindah di sini, saya kerap mengalami migrain, begitu juga isteri. Selepas itu kami tidak lagi berehat di luar rumah kerana syak ia mungkin berpunca daripada udara tercemar.

“Kami mempunyai seorang anak perempuan berusia lima tahun, dia juga tidak dapat bermain di luar atau di taman permainan berdekatan dan terpaksa berkurung bersama kami,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali turun padang mendengar keluhan daripada penduduk di kawasan tersebut.

Sementara itu, Mohamad Mustafa Raja Mohamad, 45, pula memberitahu, dia dan keluarga turut merasai gegaran bunyi dihasilkan kilang berdekatan.

“Rumah saya terletak berhampiran kilang, jadi memang bunyi kerja-kerja pemprosesan itu kuat sampai pintu bilik.  Pintu gelangsar bergegar, macam mana kami nak selesa tinggal dalam keadaan ini?

“Saya beli rumah ini pada harga lebih RM600,000, namun ketika pembelian dibuat pihak pemaju membina rumah contoh jauh dari kilang perindustrian,” katanya.

Tambahnya, dia sudah membuat laporan kepada agensi berkaitan termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), namun tiada sebarang perkembangan.

Dalam pada itu, Ariffin A. Ghani, 64, berkata, balkoni di tingkat atas kediamannya juga dipenuhi debu putih dipercayai berpunca daripada premis industri. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI