PETALING JAYA – Kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang bakal memasuki minggu kedua perlu meletakkan fokus kepada kemenangan Barisan (BN) sebagai keutamaan.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua ahli BN perlu bersatu padu dalam mencapai matlamat yang sama dan mengetahui musuh sebenar mereka.
Katanya, calon diingatkan supaya tidak terlalu fokus untuk memenangi diri sendiri dengan memperlekeh sahabat dalam BN yang sedang bertanding.
“Dalam tempoh kurang tujuh hari ini marilah kita memberikan fokus sebesar-besarnya kepada kemenangan BN.
“Ingatlah tujuan kita bertanding dalam PRU15 adalah untuk meyakinkan rakyat bahawa hanya BN pilihan terbaik demi masa depan Malaysia, bukan parti-parti yang lain,” katanya dalam satu hantaran di Facebook sebentar tadi.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kemenangan BN secara kolektif lebih bermakna daripada kemenangan secara individu.
“Jadikanlah episod-episod hitam sejarah politik yang melanda BN menjadi sempadan dan titik baharu agar kita tidak mengulangi kesilapan.
“Kenyataan populis dan menguntungkan peribadi sendiri tetapi menggugat nama parti perlulah dihindari dalam keghairahan kita berkempen,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE