PETALING JAYA – Tindakan seorang pelajar berjalan masuk ke dewan konvokesyen sambil merakam bapanya yang sedang mengalirkan air mata, undang sebak orang ramai.
Video yang dikongsi oleh pelajar itu sendiri menerusi akaun TikTok miliknya @lakitebing memaparkan riak wajah bapanya yang kelihatan terharu kerana terlalu bangga akan pencapaian anak perempuannya.
Video tular itu mengundang sebak netizen yang menyaksikan kasih sayang sebenar seorang bapa kepada anak.
“Pengorbanan dan keletihan seorang ayah akan hilang apabila melihat anak-anaknya berjaya dalam kehidupan mereka, tahniah dik,” komen seorang pengguna TikTok.
“Anak perempuan di mata ayah dia sentiasa seorang anak yang kecil yang sentiasa akan dia lindungi dan sayang, aku tengah melaluinya dan faham perasaan pakcik itu,” komen seorang lagi pengguna TikTok.
“Ayah menangis sebab nilai setitik peluh untuk tengok anaknya berjaya kini menjadi kenyataan,” tulis pengguna TikTok yang lainnya.
Dalam pada itu, ada netizen berkongsi pengalaman sedih di hari konvokesyen yang tidak dihadiri oleh kedua orang tua kerana mereka telah pergi buat selamanya.
“Allah mata saya masuk habuk. Semasa saya konvo dekat UIA, keluarga saya tidak datang kerana ibu bapa sudah meninggal. Saya rasa mereka ada di hati saya, saya yang menangis,” luah pengguna TikTok di ruangan komen.
“Saya seminggu sebelum konvokesyen emak dengan ayah saya meninggal kemalangan, masa konvo dari luar dewan sampailah saya ambik skrol ijazah, air mata saya tidak henti-henti keluar,” kongsi seorang pengguna lagi.
Setakat ini, perkongsian video meruntun jiwa tersebut telah meraih sebanyak lebih 200,000 tontonan, 19,500 tanda suka dengan 256 perkongsian. – KOSMO! ONLINE