Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
PASIR GUDANG – Kerajaan negeri sedang mencari sumber air yang baharu sebagai alternatif kepada takungan-takungan simpanan air sedia ada di negeri ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, bagi mencapai hasrat itu, pelbagai kajian dan beberapa aktiviti dijalankan bagi mengesan potensi sumber air baharu di negeri ini.
“Buat masa ini, sumber air permukaan yang terhad dan tercemar memerlukan kos rawatan yang sangat tinggi.
“Oleh itu, kerajaan negeri akan mencari sumber air alternatif bagi menampung kegunaan yang semakin meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Pemantauan Air Sedunia di Empangan Upper Layang, dekat sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani dan Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ Sdn. Bhd., Sr Nor Ifuan Md. Nor.
Hasni berkata, kerajaan negeri meletakkan teras kelestarian alam sekitar sebagai salah satu daripada lapan teras utama menerusi Pelan Pembangunan Mampan Johor 2019-2030.
Jelasnya, dalam aspek kelestarian alam sekitar, penekanan tertumpu kepada menjaga sumber-sumber asli di negeri sebagai satu tanggungjawab yang sangat mustahak.
“Tujuannya, agar Johor dapat memastikan sumber airnya tidak dikorbankan atas nama pembangunan dan kemodenan.
“Untuk itu, kerajaan negeri sentiasa berusaha mencari pendekatan baharu bagi memastikan kelestarian pengurusan air yang efektif.
“Masyarakat pada hari ini, sedang menghadapi cabaran akibat isu berkaitan sumber dan ketersediaan air yang semakin mendesak. Maka solusi yang paling ampuh dalam mendepani isu tersebut adalah pengurusan sumber air yang bijak dan terarah,” ujarnya. -K! ONLINE.