WASHINGTON – Kira-kira 3 juta pelajar sekolah menengah dan sekolah tinggi di seluruh Amerika Syarikat (AS) menggunakan satu produk tembakau dalam tempoh 30 hari semasa kajian peringkat nasional mengenai perkara itu dijalankan dari Januari hingga Mei lalu.
Agensi berita United press International (UPI) melaporkan kelmarin bahawa kajian itu mendapati rokok elektronik dan cerut berperisa mengatasi penggunaan rokok biasa di AS.
Pasukan penyelidik menganalisis data Kaji Selidik Tembakau Belia Kebangsaan 2022 untuk membuat anggaran tersebut. Hasil kajian itu diterbitkan bersama oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat (FDA) serta Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC). Ia disiarkan dalam Laporan Mingguan Morbiditi dan Kematian CDC kelmarin.
Pegawai-pegawai kesihatan Persekutuan berkata, data tersebut menyaksikan penggunaan produk tembakau komersial terus mengancam kesihatan belia AS.
Menurut kajian itu, seramai 2.51 juta atau 16.5 peratus pelajar sekolah tinggi dan 530,000 atau 4.5 peratus pelajar menengah rendah menggunakan produk tembakau pada tahun ini di seluruh AS.
Kumpulan lain dengan peratusan penggunaan produk tembakau tinggi adalah kanak-kanak yang mendapat gred rendah di sekolah (27.2 peratus), pelajar yang mengalami gejala tekanan psikologi teruk (18.3 peratus), golongan transgender lesbian, gay atau biseksual (16.6 peratus) serta pelajar miskin (12.5 peratus).
“Fakta bahawa 3 juta kanak-kanak menggunakan sekurang-kurangnya satu produk tembakau adalah sangat membimbangkan, memandangkan penggunaan tertinggi itu berlaku dalam kalangan remaja yang menjadi sasaran syarikat tembakau,” kata ketua pelobi Persatuan Paru-Paru Amerika bagi isu tembakau dan penjagaan kesihatan berpangkalan di Washington, Erika Sword.
Persatuan itu berkata, perubahan dalam metodologi kajian apabila kanak-kanak kembali ke sekolah setelah berada di rumah akibat pendemik Covid-19, menyukarkan perbandingan untuk tahun 2022 berbanding anggaran nasional pada tahun-tahun sebelumnya. – Agensi