BERA – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Guai, Datuk Sabariah Saidin yang menjadi calon wanita pertama mewakili kerusi itu menjadi sandaran besar meneruskan agenda pemerkasaan wanita dalam Parlimen Bera.
Penduduk, Norhaslin Kiran, 41, berkata, dia berbangga kerana wanita dipilih seterusnya membela nasib wanita terutama ibu tunggal dan suri rumah jika menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Saya bersyukur apabila BN mencalonkan wanita pada PRU15. Wanita lebih dekat dengan wanita, kita dapat meluahkan segala masalah berkaitan wanita, berbicara dari hati ke hati, rasa tidak rasa kekok.
“Jika beliau menang, saya percaya masalah ibu tunggal dan suri rumah di kawasan ini akan terus diberi perhatian selain meneruskan kecemerlangan BN di sini,” katanya pada Program Kenduri Rakyat di Kampung Bohor Baru, di sini semalam.
Menurutnya, sebagai anak tempatan, Sabariah seharusnya lebih memahami permasalahan rakyat dalam DUN Guai terutamanya melibatkan wanita.
Oleh itu, katanya, pengundi perlu memberi peluang kepada calon wanita itu agar dapat membantu memartabatkan wanita di kawasan pinggir bandar ini.
Sementara itu, Nor Naili Amni Luwi, 21, yang pertama kali mengundi pada PRU15 berasa teruja apabila DUN Guai diwakili calon wanita.
“Walaupun tak kenal secara dekat, namun saya memberi sepenuh kepercayaan nasib belia wanita akan terbela jika kemenangan menjadi milik BN.
“Beliawanis perlu sokongan pemimpin wanita untuk membawa kami ke depan. Bukan bermakna wakil rakyat lelaki tidak boleh, tetapi jika pemimpin wanita ada, kami akan lebih yakin.
“Saya harap calon dapat meluangkan masa dekati anak muda bukan hanya waktu berkempen, tetapi selepas PRU15,” katanya.