WASHINGTON – Seorang hakim di Amerika Syarikat (AS) memerintahkan ahli teori konspirasi, Alex Jones membayar ganti rugi tambahan AS$473 juta (RM2.19 bilion) kerana membuat dakwaan tidak benar bahawa amukan senjata api di sekolah rendah Sandy Hook pada 2012 adalah ‘palsu’.
Panel juri Connecticut, di mana pembunuhan beramai-ramai itu berlaku, memberikan pampasan AS$965 juta (RM4.48 bilion) pada bulan lalu kepada waris lapan mangsa tragedi Sandy Hook dan seorang ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI) yang memfailkan saman fitnah terhadap Jones.
Hakim Mahkamah Superior, Barbara Bellis yang mengadili kes berkenaan, memerintahkan pembayaran ganti rugi tambahan AS$473 juta itu kelmarin.
“Jones dan syarikat medianya, Free Speech Systems melakukan serangan fitnah terhadap semua plaintif selama hampir satu dekad,” kata Bellis.
Defendan merupakan pengasas laman web InfoWars dan pengacara sebuah rancangan radio popular. Dia berdepan berbilang saman fitnah oleh waris mangsa insiden tembakan yang meragut nyawa 20 kanak-kanak serta enam guru itu di Connecticut.
Jones, 48, bertahun-tahun mendakwa dalam program radionya bahawa insiden tembakan Sandy Hook adalah ‘lakonan’ yang didalangi aktivis-aktivis kawalan senjata api, manakala ibu bapa terbabit merupakan ‘pelakon krisis’. Dia bagaimanapun akhirnya mengaku tragedi itu ‘100 peratus’ benar.
Keluarga-keluarga tragedi Sandy Hook berkata, pembohongan dan penafian oleh Jones, berserta keupayaannya untuk mempengaruhi beribu-ribu pengikut, telah menyebabkan mereka mengalami trauma.
Mereka juga menceritakan telah diganggu dan diugut oleh peminat Jones. – AFP