LONDON – Seorang peminat kiub rubik di Britain memecahkan Guinness World Records apabila menyelesaikan 6,931 permainan dalam masa 24 jam, lapor agensi berita United press International (UPI) kelmarin.
George Scholey, 20, menyiarkan percubaannya menerusi siaran langsung di sebuah bilik hotel bagi memecahkan rekod dunia kategori kiub rubik berputar paling banyak diselesaikan dalam masa 24 jam.
Percubaan itu dilakukan bertepatan dengan sambutan hari Guinness World Records Day. Scholey berjaya menyelesaikan susunan 6,931 kiub rubik dalam masa 24 jam, mengatasi rekod pendahulunya dari Kanada, Eric Limeback dengan 5,800 kiub rubik pada 2013.
Remaja lelaki itu ialah juara bertahan bagi permainan kiub rubik di Britain dan disenaraikan sebagai salah seorang ‘speedcubers’ paling pantas oleh Persatuan Kiub Rubik Dunia.
“Bahagian paling sukar dalam rekod ini adalah untuk mencapai masa 12 jam. Saya berasa agak letih, namun orang lain pula begitu teruja.
“Mereka meraikannya dan berkata, anda berada dalam laluan untuk memecahkan rekod dunia. Namun, waktu ketika itu baru 12 jam berlalu,” kata Scholey.
Scholey turut memberitahu bahawa dia agak kecewa kerana gagal mencapai sasaran menyelesaikan susunan 7,000 kiub rubik.
“Menjelang penghujung malam, saya hampir kepada 7,000 kiub rubik dan agak kesal kerana tidak mendapat keputusan itu, namun tidak mengapa. Saya juga perlu berehat dan ia adalah percubaan selama 24 jam,” katanya. – Agensi