fbpx

Puluhan ribu jururawat Britain mogok, tuntut naik gaji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JURURAWAT Britain menuntut kenaikan gaji setara dengan keadaan ekonomi semasa. - Zee5

LONDON – Berpuluh-puluh ribu jururawat di Britain akan melancarkan mogok buat kali pertama dalam sejarah bagi menuntut gaji lebih adil setelah terjejas akibat kenaikan kos sara hidup, lapor laman berita Wion News kelmarin.

Kolej Kejururawatan Diraja (RCN) pada Rabu lalu memaklumkan bahawa majoriti jururawat yang diambil bekerja oleh agensi kerajaan Britain iaitu Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS), bersetuju dengan tindakan berkenaan.

Selepas keputusan undian yang menyaksikan ahli-ahlinya buat pertama kali dalam tempoh 106 tahun bersetuju mengadakan mogok, RCN berkata, tindakan itu akan diadakan sebelum akhir tahun ini. RCN memiliki lebih 300,000 ahli.

“Tindakan ini (mogok) adalah kerana kemarahan. Ahli-ahli kami mengatakan cukuplah! Tindakan ini juga demi pesakit dan jururawat. Standard perkhid­matan perubatan sudah jatuh terlalu rendah,” kata Setiausaha Agung RCN, Pat Cullen.

Menurut RCN, gaji jururawat NHS menurun sehingga 20 peratus dalam terma sebenar sepanjang tempoh satu dekad lalu sehingga menyukarkan mereka untuk menyara keluarga dan membayar bil. Kesatuan sekerja itu meminta kenaikan gaji sebanyak 5 peratus lebih tinggi berbanding kadar inflasi.

Pada September lalu, pegawai-pegawai eksekutif NHS berkata, jururawat terpaksa melangkau waktu makan untuk menyediakan pakaian dan makanan kepada anak-anak mereka. Mereka juga sukar membayar kos pe­ngangkutan yang semakin mahal.

Sebuah kumpulan yang menyokong organisasi hospital di Britain, NHS Providers berkata, satu dalam empat hospital di negara itu telah menubuhkan bank makanan untuk membantu kakitangan terutamanya jururawat.

Britain menyaksikan lonjakan ketidakpuasan hati pekerja dalam pelbagai sektor pada tahun ini termasuk bidang undang-undang dan kereta api. Perkara itu berlaku kerana gaji tidak se­iring dengan kenaikan inflasi yang kini direkodkan pada kadar 10 peratus, serta krisis harga tenaga.

Tindakan mogok itu akan menimbulkan ancaman serius terhadap sistem kesihatan yang sudah berada di bawah tekanan akibat kekurangan pelaburan berterusan oleh kerajaan, pandemik Covid-19 dan kekurangan kakitangan yang kritikal. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI