fbpx

Tragedi berdarah, selebriti maut ditembak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEBERAPA selebriti terkenal yang meninggal dunia pada usia muda akibat ditembak.

BERGELAR orang popular dan menjalani hidup atas tiket selebriti sebenarnya tidak menjamin keindahan secara total. Ada yang terjerumus najis dadah, skandal seks dan paling menyedihkan, mati sebelum waktunya sedangkan bakat seni masih menjadi tagihan dan dambaan peminat.

Mati ditembak pada usia yang masih hijau dengan penamat sebuah kehidupan penuh bertitik tolak daripada banyak faktor, antaranya dendam, kecuaian orang lain atau berada di tempat dan pada waktu salah.

HibGlam minggu ini merangkumkan kisah beberapa selebriti popular dunia yang menutup mata dalam keadaan berdarah, kematian tiba-tiba yang penuh tragis.

TUPAC SHAKUR

Legenda muzik hip-hop, Tupac Shakur meninggal dunia ketika baru berusia 25 tahun pada 7 September 1996 di Las Vegas, Nevada, Amerika Syarikat.

Kejadian tragis tersebut berlaku sekitar pukul 11.15 malam sewaktu kereta dinaiki Tupac berhenti di lampu isyarat antara East Flamingo Road dan Koval Lane.

Menurut laporan media, Tupac atau nama sebenarnya, Lesane Parish Crooks ditembak empat das peluru .40 caliber jenama Glock. Kecederaan dialami pada dada, tangan dan kakinya. Mendiang menghembuskan nafas terakhir enam hari selepas ditembak.

CHRISTINA GRIMMIE

Pada 10 Jun 2016 ketika bertemu peminat di The Plaza Live Orlando, Florida, Christina atau nama sebenarnya, Christina Victoria Grimmie March ingin memeluk seorang peminatnya, Kevin James Loibl.

Malang tidak berbau, pada saat dia ingin memeluk lelaki berusia 27 tahun itu, mendiang ditembak maut individu terbabit.

Menurut saksi kejadian, suspek kemudian dikepung abang Christina, namun berjaya melarikan diri dan kemudian menembak mati dirinya sendiri.

Hasil bedah siasat, Christina yang merupakan bekas peserta The Voice mati ditempat kejadian dengan kecederaan teruk di kepala dan bahagian dadanya.

SIDHU MOOSE WALA

Dunia muzik India atau Bollywood dikejutkan dengan kematian penyanyi rap, Sidhu Moose Wala atau nama lengkapnya, Shubhdeep Singh Sidhu pada 29 Mei 2022.

Penyanyi lagu SYL itu ditembak mati individu tidak dikenali yang dikatakan merupakan samseng asal Kanada di Punjab, India.

Menurut pihak berkuasa, Sidhu ditembak mati akibat dendam kesumat samseng yang sudah lama berlarutan. Ketika hayatnya, Sidhu sering mencipta sensasi menerusi muziknya yang berkisar tentang budaya senjata api berkait dengan kumpulan kongsi gelap bernama Mai Bhago.

TAKEOFF

Minggu lalu, dunia dikejutkan dengan kematian penyanyi rap popular, Takeoff atau nama sebenarnya, Kirshnik Khari Ball yang maut ditembak di sebuah pusat bowling di Houston, Texas, Amerika Syarikat.

Meninggal dunia pada usia 28 tahun, mendiang yang juga ahli kumpulan Migos itu ditembak disebabkan pergaduhan yang berpunca daripada permainan dadu atau ‘dice’ hingga saksi mengatakan lima das tembakan dilepaskan pelaku.

Ketika kejadian, penyanyi itu menghadiri sebuah parti tertutup di luar premis 810 Billiards & Bowling Houston.
Imej dari lokasi menampakkan pelantun lagu MotorSport itu terbaring kaku berlumuran darah dipercayai ditembak pada bahagian kepala.

XXXTENTACION

Terkenal dengan lagu berjudul Sad!, XXXTentacion atau nama lengkapnya, Jahseh Dwayne Ricardo Onfroy meninggal dunia pada usia yang sangat muda iaitu 20 tahun.

Pada 18 Jun 2018, XXXTentacion ditembak di sebuah kawasan pengedaran motosikal di pantai Deerfield, Florida. Pelaku dikatakan menembak mati penyanyi itu dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan melarikan beg berjenama Louis Vuitton berisi wang tunai berjumlah AS$50,000 (RM235,000).

Pada Ogos 2022, seorang daripada empat suspek bunuh penyanyi itu mengaku bersalah melakukan jenayah kejam yang diklasifikasikan sebagai second degree murder (pembunuhan tahap kedua) oleh pihak mahkamah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI