BAGAN SERAI – Seorang wanita maut manakala suaminya cedera ringan setelah motosikal yang dinaiki terbabit dalam satu kemalangan dengan sebuah treler di KM103 Jalan Ipoh-Butterworth pada kira-kira pukul 9 malam semalam.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Juna Yusoff berkata, kemalangan itu berlaku berhampiran dengan Kampung Parit Ali Kalang ketika kedua-dua buah kenderaan itu datang dari arah Bagan Serai menuju ke Semanggol.
“Siasatan awal mendapati, motosikal jenis Honda Wave yang dinaiki oleh pasangan suami isteri itu telah bergesel dengan sebuah treler jenis Hino Kubota dengan muatan besi di bahagian tepi sebelah kiri.
“Impak tersebut telah menyebabkan motosikal hilang kawalan lalu terbabas dan jatuh atas jalan menyebabkan kepala isteri mangsa digilis tayar belakang sebelah kiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, isteri mangsa seorang warga Indonesia berusia 40 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala mangsa warga tempatan berusia 51 tahun mengalami kecederaan ringan.
“Mayat isteri lelaki itu telah dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat,” katanya.
Kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE