fbpx

50 kertas dibentangkan di persidangan antarabangsa berkaitan kelapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pembentang kertas pada Pameran dan Persidangan Antarabangsa COCOTECH 2022 di KLCC, Kuala Lumpur hari ini.

PETALING JAYA – Sebanyak 50 kertas dibentangkan pada Pameran dan Persidangan Antarabangsa kali ke-50 (COCOTECH 2022) di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) bermula 7 November hingga hari ini.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam kenyataan berkata, ia meliputi topik Keselarasan Dasar Kepada Penyelesaian Perubahan Iklim Untuk Agroindustri Kelapa Berdaya Tahan Dan Mampan Serta Pendapatan Petani, Mempromosi Pembangunan Eksport Hijau Produk Kelapa dan Penyesuaian Agronomi Strategi Perubahan Iklim.

“Selain menjadi platform terbaik bertukar idea dan amalan terbaik bagi lebih memahami isu dan cabaran industri kelapa, persidangan ini juga memberi peluang kepada ahli dan anggota International Coconut Community (ICC) serta pemain industri menjalinkan jaringan kerjasama demi manfaat bersama.

“COCOTECH 2022 mendapat sambutan di luar jangkaan dan turut dihadiri seramai 400 peserta terdiri daripada delegasi negara-negara ahli dan bukan ahli di bawah
ICC serta pakar-pakar tanaman kelapa dari seluruh dunia,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, negara anggota dan peserta Persidangan Antarabangsa COCOTECH 2022 mendapat pelbagai manfaat hasil perkongsian merentasi 20 negara anggota ICC dari seluruh dunia.

Katanya, sebanyak 10 usul disenaraikan hasil pembentangan persidangan COCOTECH 2022 antaranya melaksanakan dasar-dasar dan program sesuai bagi mendepani daya tahan perubahan iklim, mengadaptasi strategi amalan agronomi yang berdaya tahan dengan sebarang perubahan iklim dan mengadaptasi strategi pembangunan genetik yang berdaya tahan dengan perubahan iklim.

“Untuk rekod, produktiviti tanaman kelapa di Malaysia menduduki tangga ketujuh di dunia selepas Vietnam, India dan Sri Lanka. Industri kelapa merupakan antara tiga industri penting menyumbang kepada sosioekonomi Malaysia di mana dianggarkan seramai 65,340 keluarga tani terlibat dalam penanaman kelapa.

“Tanaman kelapa merupakan komoditi utama di Malaysia selepas kelapa sawit, getah dan padi. Pada tahun 2020, keluasan penanaman kelapa adalah 84,942 hektar dengan pengeluaran sebanyak 536 juta biji yang menyumbang kepada produktiviti 6,317 biji per hektar,” katanya.

MAFI melalui Jabatan Pertanian memberi tumpuan kepada empat varieti kelapa berhasil tinggi iaitu kelapa hibrid MATAG dan kelapa rendah (dwarf) seperti Malayan Yellow
Dwarf (MYD), Malayan Red Dwarf (MRD) dan kelapa pandan bagi meningkatkan pengeluaran kelapa di Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI