fbpx

Mahkamah: Permohonan Najib hadir dengar injunksi Mareva ditolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menghadiri prosiding pendengaran injunksi Mareva yang diperoleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan satu daripada anak syarikatnya untuk menghalangnya daripada melupuskan atau mengurangkan nilai mana-mana asetnya di Malaysia sehingga AS$681 juta.

Peguam Siva Kumar Kanagasabai yang mewakili 1MDB ketika dihubungi berkata Hakim Atan Mustaffa Yusoff Ahmad memutuskan demikian selepas mendengar hujahan pihak-pihak berhubung permohonan Najib itu.

“Mahkamah menolak permohonan Datuk Seri Najib untuk menghadiri prosiding berkenaan kerana beliau (Najib) didapati tidak diperlukan sebagai saksi dalam permohonan itu, oleh itu permohonan tersebut ditolak tanpa sebarang kos.

“Bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonan Datuk Seri Najib untuk menangguhkan pendengaran bagi kedua-dua permohonan itu yang sepatutnya berlangsung esok,” katanya.

Dalam prosiding hari ini pihak-pihak dihadiri peguam Dhanyaa Shreeya Sukumar serta Tommy Lim Ka Hui mewakili 1MDB manakala peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee dan Alaistair Brandah Norman bagi pihak Najib.

Pendengaran itu melibatkan dua permohonan iaitu injunksi Mareva yang diperoleh 1MDB dan satu anak syarikatnya untuk menghalang bekas perdana menteri itu daripada melupuskan atau mengurangkan nilai mana-mana asetnya di Malaysia sehingga AS$681 juta.

Sementara satu lagi permohonan Najib ialah mengetepikan injunksi mareva yang diperoleh 1MDB dan Global Diversified Investment Company Limited (dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited) yang merupakan plaintif pertama dan kelima dalam kes saman terhadap Najib dan beberapa individu lagi.

Injunksi mareva adalah perintah menghalang seseorang daripada melupuskan harta sementara menunggu penyelesaian tindakan undang-undang.

Injunksi tersebut juga mengehadkan Najib mengeluarkan wang tidak melebihi RM100,000 sebulan yang diperlukannya untuk perbelanjaan sara hidup serta perbelanjaan guaman, namun sekiranya memerlukan lebih daripada jumlah itu, beliau perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada peguam 1MDB dan Global Diversified.

Perintah itu juga menyatakan, Najib mesti membuat pendedahan secara bertulis kepada 1MDB dan Global Diversified berhubung asetnya sehingga pada nilai AS$681 juta, sama ada di dalam atau di luar negara, sama ada di bawah namanya sendiri atau tidak dan sama ada milikan secara tunggal atau secara bersama defendan lain.

Dalam saman itu, 1MDB, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified selaku plaintif manakala Najib, Terrence Geh Choh Heng (bekas Pengarah Kewangan 1MDB), Jasmine Loo Ai Swan (bekas peguam 1MDB), Casey Tang Keng Chee (bekas Pengarah Eksekutif 1MDB), Vincent Beng, Radhi Mohamad (Ketua Pegawai Operasi 1MDB) dinamakan sebagai defendan.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah Kelvin Tan Kay Jim (bekas Pengarah Pelaburan) dan Nik Faisal Ariff Kamil (bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd).

Saman AS$8 bilion itu adalah satu daripada 22 saman sivil yang difailkan untuk menuntut lebih AS$23 bilion bagi pihak 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International terhadap beberapa individu yang didakwa terlibat dalam skandal kewangan itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI