SUNGAI BULOH – Dua calon Parlimen Sungai Buloh yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Khairy Jamaluddin Abu Bakar serta Datuk R. Ramanan yang masing-masing daripada parti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dilihat segera turun padang meninjau keadaan mangsa banjir di sini hari ini.
Kedua-duanya meninjau situasi semasa banjir di Kampung Melayu Subang, dan Taman Setia Warisan.
Perkara itu dikongsikan menerusi platform media sosial masing-masing.
Hujan lebat berterusan sejak awal petang tadi menyebabkan beberapa kawasan di Sungai Buloh dinaiki air sehingga paras betis.
Menurut Khairy Jamaluddin yang juga Penyandang kerusi Parlimen Renbau itu berkata, antara penyebab berlaku banjir kilat di kawasan terlibat adalah disebabkan sistem perparitan yang daif selain saiz ban tidak mencukupi untuk menjadi penghadang kepada air sungai.
“Ban di Taman Setia Warisan tidak cukup panjang, apabila air sungai deras disebabkan hujan, air sungai akan melimpah ke kawasan perumahan penduduk.
“Kita akan usaha untuk tinggikan tembok ban atau sambungkan laluan sungai lebih panjang untuk elak air melimpah,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di TikTok sebentar tadi. – KOSMO! ONLINE