GOMBAK – Sebanyak 53 kompaun dikeluarkan kepada pengunjung serta pemilik premis kerana didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa dalam Operasi Pematuhan SOP di sekitar Bandar Baru Selayang di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, hasil pemeriksaan pihaknya mendapati masih ada pengunjung di beberapa kedai makan yang didapati tidak mendaftar melalui aplikasi MySejahtera serta buku disediakan premis berkenaan.
“Pengunjung ini memaklumkan tidak mendaftar kerana belum memuat turun aplikasi MySejahtera selain capaian internet perlahan dan terlupa menulis maklumat pada buku disediakan.
“Alasan itu tidak boleh diterima memandangkan sudah lama kerajaan menperkenalkan aplikasi berkenaan dan susulan itu, sebanyak 53 kompaun telah dikeluarkan kepada pengunjung serta pemilik premis yang didapati tidak mematuhi SOP ditetapkan,” katanya ketika mengetuai operasi berkenaan semalam.
Menurut Arifai, pihaknya turut mengesan pemilik premis yang tidak mematuhi SOP ditetapkan seperti tidak menyediakan laluan berasingan bagi pengunjung serta tidak menyelenggara buku pendaftaran termasuk membiarkan buku pendaftaran tidak dijaga oleh pekerja.
“Daripada 53 kompaun yang dikeluarkan, 10 daripadanya adalah membabitkan pemilik premis dan semua individu serta pihak yang dikenakan kompaun itu diwajibkan menyelesaikannya dalam tempoh 14 hari di pejabat kesihatan.
“Operasi seperti ini akan dijalankan secara konsisten bagi memastikan penduduk setempat mematuhi SOP ditetapkan kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19,” tegas beliau. – K! ONLINE