PETALING JAYA – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi menegaskan tiada kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) seperti yang didakwa.
Menerusi portal BN Online hari ini, penyandang Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, perkara itu juga turut dinafikan oleh Presiden PH sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap dalam satu program di Johor kelmarin.
“Saya sudah tengok video dia (Anwar) menafikan, jadi kita kena percaya apa yang dia cakap,” katanya kepada pemberita pada perjumpaan dengan komuniti India semalam.
Kelmarin, dalam ucapan pada program di Johor Bahru, Anwar menafikan akan menjalinkan kerjasama dengan Ahmad Zahid selepas PRU15 nanti.
Anwar yang juga Presiden PKR berkata, isu itu adalah propaganda baharu dimainkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan serta Presiden Pas Tan Seri Abdul Hadi Awang. – KOSMO! ONLINE.