fbpx

Aktres terkenal Iran sokong protes secara terbuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TARANEH menyertai sesi bergambar untuk filem Leila's Brothers semasa festival filem Cannes edisi ke-75 di Cannes, selatan Perancis pada 26 Mei lalu. - AFP

PARIS – Seorang pelakon wanita antara yang paling terkenal di Iran menyiarkan gambar dirinya tanpa memakai tudung di media sosial kelmarin sekali gus melanggar undang-undang negara berkenaan.

Tindakan Taraneh Alidoosti itu sebagai tanda protes ketika Iran digegarkan oleh protes yang berlanjutan sehingga berminggu-minggu selepas kematian Mahsa Amini. Wanita Kurdis berusia 22 tahun itu meninggal dunia pertengahan September lalu semasa dalam tahanan polis moral Iran. Dia didakwa melanggar pe­raturan pakaian kerana memakai tudung secara tidak sempurna.

Taraneh merupakan antara pelakon terkenal yang masih tinggal di Iran dan secara terbuka menyokong gerakan protes terhadap Teheran. Dia menyiarkan gambar wajahnya tanpa memakai tudung dalam akaun Instagram rasminya.

Gambar sama memaparkan Taraneh memegang slogan gerakan protes itu dalam bahasa Kurdis yang bermaksud: “Wanita. Kehidupan. Kebebasan.”

Dia kerap muncul dalam filem-filem arahan pengarah filem, Asghar Farhadi. Taraneh turut membintangi filem arahan Asghar, The Salesman, yang memenangi anugerah Oscar kategori filem bahasa asing terbaik pada 2017.

Beberapa hari lalu menerusi laman Instagram, aktres ber­kenaan berkata, dia akan kekal di Iran walau apa sahaja yang me­nimpa dirinya.

“Saya tetap di sini dan tidak berhasrat berhijrah. Saya akan tinggal, saya akan berhenti be­kerja. Saya akan menyokong keluarga banduan dan mereka yang terbunuh dalam protes ini,” kata pelakon wanita berusia 38 tahun itu yang menafikan mempunyai pasport asing atau kediaman di luar Iran.

Taraneh mengecapi populari sejak zaman remaja lagi dan turut membintangi filem terkenal arahan Saeed Roustayi yang berjudul Leila’s Brothers. Filem itu ditayangkan pada festival antarabangsa Cannes di Perancis  tahun ini. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI