fbpx

MCA nyatakan sokongan pada PN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ka Siong

KUALA LUMPUR – MCA tidak akan menyokong atau menyertai komplot bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) , Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Presidennya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, mesyuarat Biro Politik MCA dipengerusikannya membuat ketetapan berkenaan berikutan kenyataan Anwar pada 8 Oktober lalu bahawa beliau sudah mendapat perkenan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 13 Oktober ini.

Beliau juga telah mengadakan perbincangan bersama Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta semua Presiden parti komponen yang mencapai kesepakatan bahawa BN tidak akan menyertai Anwar dalam pembentukan kerajaan baharu.

“MCA juga mengulangi pendirian parti iaitu memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menerajui kepimpinan negara khususnya dalam keadaan dunia berdepan dengan penularan pandemik Covid-19 yang menyebabkan semua sektor ekonomi terkesan.

“Kestabilan politik adalah prasyarat untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi serta menarik lebih banyak pelaburan asing ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Jelas Ka Siong, adalah wajar bagi semua parti politik menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pemulihan ekonomi dan menghentikan segala percaturan politik yang akhirnya merugikan rakyat.

Menurut beliau, pemimpin dan parti politik juga seharusnya menghormati titah Yang di-Pertuan Agong pada Mei lalu yang meminta ahli politik supaya tidak mengheret negara sekali lagi ke kancah politik yang tidak menentu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI