fbpx

Uswatun pakar tangisan bayi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
USWATUN merupakan rakyat Malaysia pertama yang mendapat pentauliahan dalam dua bidang berkaitan tangisan bayi.

WANITA ini pernah merungut kerana sering diminta untuk memeriksa sama ada anak lapar, tidak selesa mahupun lampin penuh setiap kali si kecilnya menangis.

Graduan bidang kimia industri dari Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor itu percaya setiap tangisan mempunyai maksud tersendiri dan sebagai salah satu bentuk komunikasi bayi.

Disebabkan tiada sumber di Malaysia tentang cara menghentikan bayi baru lahir menangis dan membantu si manja tidur lena, ia menjadi titik tolak buat wanita itu menubuhkan Babylanguage.

Ia merupakan sebuah konsultan tangisan dan tidur bayi. Pemilik nama, Uswatun Hasanah Mohd. Habib merupakan rakyat Malaysia pertama yang mendapat pentauliahan dalam dua bidang utama tangisan bayi newborn daripada dua institusi berbeza.

Pentauliahan pertamanya adalah pada 2010 dari Dunstan Baby Language Institute yang berpusat di Sydney, Australia.

Pada 2014, dia memperoleh pentauliahan kedua dari The Happiest Baby Education Association yang berpangkalan di California, Amerika Syarikat.

Pentauliahan kedua itu melengkapkan Uswatun dengan ilmu mententeram dan membantu bayi tidur lebih lena.

“Saya seorang yang rimas dan tidak suka dengan bunyi bising bayi menangis. Saya juga sudah beberapa kali menyaksikan bayi yang susah berhenti menangis walaupun telah dipujuk.

“Ada satu perkara yang mengganggu fikiran ketika itu, bagaimana jika saya mendapat anak kuat menangis nanti?

“Jadi, saya meminjam dan membeli banyak buku persediaan ibu mengandung semasa hamil dahulu serta membuat carian dalam internet bagi mendapatkan jawapan tentang cara menenang dan menidurkan bayi baru lahir.

“Saya jadi ‘bengang’ apabila tidak dapat menemukan jawapannya di dalam buku dan internet,” katanya kepada Aura baru-baru ini.

Sebaik menemui jawapan dan lulus ujian pentauliahan, wanita yang mesra disapa Uswatun itu mempunyai satu misi iaitu mengatasi salah faham berkaitan isu tangisan dan tidur bayi dalam kalangan masyarakat.

Dia perlu berusaha menyebarluaskan ilmu serta fakta yang benar.

Kini, dia merupakan pakar perunding tangisan dan tidur bayi sepenuh masa. Uswatun juga adalah ahli panel penulis doktorbudak.com dan ahli Malaysia Advocacies of Children Health.

Malah, dia berjaya mengeluarkan buku pertama ditulisnya sendiri yang berjudul Mengapa Bayi Anda Menangis.

Ia merupakan naskhah panduan tangisan bayi yang pertama dalam bahasa Melayu di negara ini.

Lebih membanggakan apabila dia berjaya membuka pusat sehenti sokongan dan pengajaran ilmu tangisan serta tidur bayi yang dikenali sebagai Baby Cry Support Center di Kajang Prima, Selangor pada Jun lalu.

USWATUN (kanan) sering berkongsi ilmu berkaitan tangisan dan tidur bayi kepada golongan ibu bapa di negara ini.

Begitupun tidak mudah bagi anak kelahiran Ampang itu untuk mengubah stigma masyarakat.

Ini kerana sebahagian masyarakat masih berpegang dengan amalan nenek moyang yang obses dengan gangguan makhluk halus, selain status Uswatun yang merupakan seorang suri rumah dan bukannya doktor atau jururawat.

Justeru, dia terpaksa mengambil pendekatan menulis dan berkomunikasi menggunakan bahasa menyentuh emosi bagi membantu ibu bapa memahami maksud tangisan bayi mereka.

Tidak gemar mengguna ayat formal atau berlapik, Uswatun lebih suka bercakap dan menulis menggunakan ayat provokasi bagi membolehkan ibu bapa berfikir serta membuka minda.

“Penting bagi ibu bapa memahami tangisan bayi masing-masing.

“Ini kerana tangisan berpanjangan dan gangguan ketika tidur akan menyebabkan bayi sentiasa meragam.

“Jadi, tidak hairanlah jika isu tangisan dan tidur bayi ini boleh menjadi pencetus kepada masalah depresi, keletihan melampau, kekurangan tidur, keretakan rumah tangga dan lain-lain lagi,” jelasnya.

Ujar ibu kepada dua orang cahaya mata itu, dia berharap ilmu tangisan dan tidur bayi dapat disebarkan di negara ini.

Jelasnya, bidang tersebut sangat penting kepada kesihatan dan kegembiraan sesebuah institusi keluarga.

“Permintaan masyarakat terhadap bantuan isu tangisan dan tidur bayi juga semakin tinggi. Saya tidak mampu melakukannya seorang diri.

“Jadi, berbekalkan ilmu dan pengalaman yang diperolehi selama ini, saya telah melancarkan program Newborn Baby Cry & Sleep Peer Counsellor atau Kaunselor Rakan Tangisan & Tidur Bayi Baru Lahir.

“Tujuannya adalah untuk melahirkan seramai mungkin tenaga pengajar dalam bidang ini.

“Jika boleh saya ingin lahirkan sekurang-kurangnya seorang wakil pengajar dalam bidang berkaitan tangisan dan tidur bayi di seluruh negara,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI