KUALA LUMPUR – Seorang wanita berdepan detik cemas apabila diragut dua lelaki bermotosikal ketika berjalan dari Stesen LRT Sri Rampai, Titiwangsa, disini semalam.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, mangsa yang berusia 25 tahun itu berjalan seorang diri pada waktu kejadian dan diragut kira-kira pukul 7 pagi.
“Mangsa sedang berjalan dari Stesen LRT Sri Rampai ke jalan Simpang Desa Putra telah didekati sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki disyaki warga tempatan.
“Dua suspek berkenaan telah meragut beg yang mengandungi komputer riba dan sebuah telefon bimbit.
“Suspek yang bersenjatakan pisau berjaya melarikan beg milik wanita tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Ashari, mangsa tidak dapat mengecam jenis dan nombor pendaftaran motosikal yang dinaiki suspek.
Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan berlaku terhadap mangsa. – KOSMO! ONLINE