Oleh MOHAMAD FAHD RAHMAT
BATU PAHAT – Hampir 90 peratus daripada 624 murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Binjai, Tongkang Pechah di sini tidak hadir ke sekolah pagi ini selepas tersebar khabar angin mengenai salah seorang murid di situ berisiko dijangkiti Covid-19.
Menurut sumber yang mahu dikenali sebagai Azman, sejak tersebar khabar angin itu, pihak guru mengambil inisiatif melakukan proses sanitisi di kesemua bilik darjah termasuk bilik guru dan kantin.
“Hari ini 90 peratus murid tidak hadir mungkin kerana ibu bapa mereka tidak mahu mengambil sebarang risiko yang mungkin terjadi ketika ini.
“Semalam semua bilik darjah dan bilik guru serta kantin dicuci dengan pembasmi kuman dan air oleh guru sekolah.
“Saya jangka kehadiran murid di Sekolah Agama Seri Binjai pada sesi petang hari ini juga merosot dengan peratusan sama kerana mereka adalah murid dari SK Binjai,” katanya.
Jelasnya, pada awal pagi hari ini guru-guru Sekolah Agama Sri Binjai pula melakukan proses sanitasi sama bagi mengelakkan sebarang risiko tidak diingini.
Dalam perkembangan sama, Poliklinik Al-Amin BP di sini mengambil langkah menutup operasi bagi tujuan disinfeksi semalam.
Melalui pengesahan di Facebook rasmi klinik berkenaan, pemiliknya Dr. Aswad Ithnain berkata, seorang pesakit bergejala hadir ke klinik itu 1 Oktober lalu.
“Berkaitan tular di media sosial mengenai kes jangkitan covid di Batu Pahat, pesakit tersebut hadir ke klinik saya pada 1 Oktober 2020 dan diperiksa oleh saya.
“Beliau mempunyai gejala bermula 29 September 2020 dan saya telah diarahkan kuarantin di rumah.
“Segala aktiviti saya ditangguhkan serta-merta sehingga diberitahu,” katanya.
Beliau berkata, pemakluman waktu operasi akan dimaklumkan kemudian dan menasihatkan semua pihak supaya mengekalkan prosedur operasi standard yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan.
“Buat masa ini saya, ahli keluarga dan juga staf klinik dalam keadaan bebas dari sebarang gejala,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Muhammad Izzudin Runggai berkata, kes di klinik itu memerlukan pengesahan kementerian.- K! ONLINE