GUA MUSANG – Masalah hak milik tanah yang dihadapi ramai rakyat di negeri ini dapat diselesaikan sekiranya tampuk pemerintahan kerajaan negeri Kelantan bertukar.
Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, meskipun lebih 30 tahun memerintah, kerajaan negeri gagal membantu rakyat yang tidak berkemampuan untuk memiliki tanah.
Katanya, dasar kerajaan Kelantan ketika ini menyebabkan ramai yang tidak mampu membayar premium tanah kerana kosnya terlampau mahal.
“Masalah ini hanya boleh selesai apabila kita buang kerajaan sedia ada kerana dasar mereka menekan orang-orang yang tidak mampu membayar premium tanah, cukai tanah dan sebagainya.
“Saya rasa kalau kerajaan negeri tidak bertindak, inilah jadinya. Kita anjur tukar kerajaan ini kerana mereka sudah memerintah lebih 30 tahun,” katanya.
Tengku Razaleigh turut menyeru supaya pengundi di negeri ini bertindak membawa perubahan dengan menukar pimpinan kerajaan negeri Kelantan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Kita tukar kerajaan baharu pada PRN akan datang. Itu seruan saya. Perubahan itu membolehkan saya boleh menyelesaikan soal ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE