Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
JOHOR BAHRU – Polis Johor akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai dan anggota yang melindungi sindiket penipuan Macau Scam.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay tidak menolak kemungkinan terdapat anggota dan pegawainya terlibat sindiket terbabit ekoran peningkatan jumlah kes penipuan Macau Scam yang direkodkan di negeri ini pada tahun ini.
Katanya, pihaknya akan menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengesan sekiranya terdapat penglibatan anggota dan pegawainya dalam kegiatan tersebut.
“Ada kemungkinan ada anggota dan pegawai polis yang terlibat, namun buat masa ini masih belum ada sebarang tangkapan dibuat.
“Setakat ini belum ada, mungkin di masa akan datang mungkin ada. Kalau ada, kita akan mengambil tindakan tegas,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Pelanggan Dan Komuniti Kepolisian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara (JBU).
Turut hadir ialah Ketua Polis Daerah JBU, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid.
Dalam pada itu, Ayob Khan berkongsi kejayaan pihak polis memberkas 15 individu warganegara China yang disyaki terlibat kegiatan Macau Scam pada bulan lalu.
Katanya, polis akan terus melancarkan operasi bagi memerangi sindiket berkenaan dan mengambil tindakan terhadap semua individu yang terlibat. – K! ONLINE