PAGOH – Bantuan tidak berbelah bagi selama ini diberikan oleh kerajaan untuk warga Felda menjadi semangat buat kumpulan peneroka untuk terus memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN).
Calon BN Parlimen Pagoh, Datuk Seri Razali Ibrahim berkata, pada sesi lawatannya di Felda Moakil, Bukit Kepong, di sini, rata-rata penduduk menzahirkan penghargaan terhadap barisan kerajaan yang sering berusaha membaiki mutu ekonomi mereka.
Menurut Razali, kumpulan peneroka itu kini mengakui berpeluang untuk merasai nikmat harga sawit yang baik apabila mampu memperoleh keuntungan jualan sawit sekitar RM700 hingga RM900.
“Alhamdulillah, semangat peneroka masih kuat mengenang semula jasa dan sumbangan kerajaan BN bermula dari tanah rancangan ini dibuka pada tahun 1989.
“Mereka akui tak pernah lupa tentang kecelaruan yang berlaku ketika krisis harga minyak sawit jatuh akibat kerajaan tidak stabil dan tidak mesra pelabur luar,” katanya pada sesi lawatan santai bersama warga Felda Moakil 1, Bukit Kepong, di sini, semalam.
Tambah beliau, selain bantuan kerajaan, keselesaan yang diperoleh warga Felda itu juga adalah atas usaha dan keringat mereka sendiri yang berusaha keras menambah baik ekonomi mereka.
“Pesanan saya, orang Felda, jagalah Felda anda kerana ini merupakan satu-satunya inisiatif dalam dunia yang hanya terdapat di negara kita Malaysia,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE