PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di empat negeri sehingga pukul 9 pagi ini.
MetMalaysia berkata, empat negeri tersebut adalah Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
“Di Pahang, kawasan yang diramal ribut petir adalah Jerantut, Maran dan Bera manakala di Johor pula kawasan yang terbabit adalah Segamat, Batu Pahat, Kluang, Pontian dan Kulai,” katanya menerusi kenyataan di laman sesawangnya.
Sementara itu, kawasan di Sarawak yang dijangka berdepan dengan cuaca buruk adalah Sarikei (Pakan dan Julau), Sibu (Sibu dan Kanowit), Kapit (Song), Bintulu (Tatau dan Bintulu) dan Miri (Subis).
“Namun berbeza dengan Sabah, hanya kawasan Kudat (Pitas dan Kudat) dijangka hujan lebat pagi ini,” jelasnya.
Menurut MetMalaysia lagi, bagi kawasan-kawasan di negeri lain sekitar Semenanjung, cuaca diramalkan dalam keadaan baik dan cerah ekoran tiada laporan hujan dikeluarkan.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE