Pensyarah sasar raih kemenangan mingguan berhasil
PERTUKARAN ramai pemain setiap minggu membawa tuah buat pasukan Ayam Tambatan selepas menjadi pemenang mingguan bagi saingan Liga Fantasi Kosmo! buat kali kedua pada perlawanan minggu ke-15.
Pengurusnya yang juga seorang pensyarah, Dr. Muhammad Fadhil Marsani menjelaskan, tidak kisah untuk menolak banyak mata bagi membentuk skuad terbaik memandangkan dia hanya meletakkan sasaran bagi memenangi aksi mingguan.
Justeru, kedudukan pasukan pada akhir musim tidak lagi menjadi fokus kerana menganggap kemenangan mingguan sudah memadai, lebih-lebih lagi pasukannya sudah jauh ketinggalan dengan kelompok 10 teratas.
“Ini adalah kemenangan kedua saya bagi saingan musim 2022/23. Pemilihan pasukan saya berkonsepkan jangka pendek kerana saya akan menukar ramai pemain setiap minggu dan tidak kisah jika ditolak mata.
“Fokus saya sekarang adalah untuk memenangi aksi mingguan kerana sudah jauh ketinggalan. Minggu lalu, mungkin cip ‘bench boost’ menjadi salah satu faktor kemenangan ini,” ujarnya.
Kesetiaan kepada Mohamed Salah tuai ganjaran
KEPERCAYAAN meletakkan Mohamed Salah sebagai kapten membolehkan pasukan 433 Gegen Pressing meraih mata tertinggi bagi minggu ke-15 saingan Liga Fantasi Kosmo! 2022/2023.
Dua gol daripada bintang Liverpool itu menewaskan Tottenham Hotspur 2-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris hujung minggu lalu langsung tidak dijangka oleh pengurusnya, Masdariansah Samsudin.
“Saya memang letak Salah sebagai kapten sejak musim lalu tetapi dia tidak begitu menjadi kali ini. Sebagai peminat Liverpool, saya tetap percayakan Salah dan ia membawa pulangan.
“Memang tidak jangka dua gol Salah membuatkan saya kutip mata tertinggi. Ini kali pertama saya memenangi sesuatu sejak bermain FPL (Fantasy Premier League),” katanya yang berasal dari Shah Alam, Selangor.
Pekerja di sebuah syarikat kilang kereta swasta itu juga teruja apabila kali pertama kisah kejayaannya diterbitkan oleh penganjur Kosmo! dalam platform media cetak dan online.
Belum terlambat kejar kelompok 10 terbaik
PERCATURAN formasi permainan 4-5-1 menjadi buat Nurul Syafiq Jasmin menjadi antara pemenang mata mingguan tertinggi bagi saingan minggu ke-15 Liga Fantasi Kosmo! 2022/23.
Pengurus pasukan Ada Manoi FC itu menyifatkan, empat daripada lima pemain tengahnya berjaya memungut mata tinggi antara faktor utama kejayaan biarpun hanya mempertaruhkan seorang penyerang.
“(Mohamed) Salah, (Pascal) Gross dan (Andreas) Pereira berjaya menjaringkan gol serta cipta umpanan seperti (Kevin) De Bruyne. Mujur saya tiada (Joao) Cancelo yang dilayangkan kad merah,” katanya.
Bagi Syafiq, pemilihan kesebelasan utamanya berdasarkan prestasi semasa seseorang pemain itu, bukan disebabkan kualiti pasukan atau lawan dihadapi untuk saingan minggu tersebut
Malah, peminat setia Liverpool itu turut percaya masih memiliki peluang untuk memanjat carta ke kelompok 10 terbaik biarpun kini berkedudukan 200 lebih disebabkan faktor Piala Dunia Qatar 2022.
Intan FC raih rezeki terpijak dengan kekalkan nama besar
KEGAGALAN beberapa pengurus pasukan untuk melakukan pendaftaran lengkap memberi tuah buat Saiful Hoesne Hasan Ongkat selepas pasukannya, Intan FC mendapat kedudukan Top 5 pada saingan Liga Fantasi Kosmo! minggu ke-15 (GW15).
Saiful mengakui keputusan untuk mengekalkan nama-nama besar dianggap tepat walaupun beberapa kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) tidak begitu konsisten musim ini.
“Secara jujur, saya tidak sangka dapat mengutip mata tertinggi pada kempen minggu ini kerana saya melihat sendiri carta dan ada beberapa pasukan yang mendapat mata lebih tinggi.
“Namun, selepas difahamkan mereka tidak melengkapkan pendaftaran dan slot tersebut diberikan kepada saya, tiada apa lagi yang boleh saya katakan selain ini adalah rezeki yang terpijak.
“Saya sokong Manchester United, tetapi tidak mempertaruhkan pemain dalam pasukan kerana mereka tidak konsisten.
“Cuma, saya mengekalkan pemain seperti Mohamed Salah daripada Liverpool, Erling Haaland (Man. City) dan Aaron Ramsdale yang menyumbangkan mata cukup tinggi,” katanya.
Kemenangan hadir selepas dua musim
SELEPAS dua musim menyertai saingan Liga Fantasi Kosmo!, pasukan Rentak Chumpu FC akhirnya menikmati kemenangan pertama apabila menjadi salah seorang pemenang bagi aksi minggu ke-15.
Pengurus pasukan, Johan Ariff Johari menyuarakan rasa gembira selepas percaturannya menjadikan penyerang Liverpool, Mohamed Salah sebagai kapten membuahkan hasil selepas pemain Mesir itu meledak dua gol.
Justeru, dia meletakkan sasaran untuk mencari kemenangan kedua berturut-turut menjelang aksi minggu ke-16 yang dijadualkan berlangsung hujung minggu ini, aksi terakhir sebelum saingan Piala Dunia 2022.
“Alhamdulillah kerana ini adalah kali pertama saya dapat menjadi salah seorang pemenang mingguan dalam Liga Fantasi Kosmo! selepas menyertai kejohanan ini sejak musim lalu.
“Kebetulan saya menggunakan Salah sebagai kapten dan ia adalah rezeki kerana dia menjaringkan dua gol. Kebiasaan saya gunakan (Erling) Haaland sebagai kapten tetapi terpaksa ubah kerana dia cedera.
“Impian itu memang untuk berada dalam kedudukan kelompok 10 teratas, namun nampak gaya sudah jauh ketinggalan. Mungkin saya akan sasar kemenangan di minggu lain pula, InsyaAllah,” katanya.