VALENCIA – Meskipun perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim depan belum bermula, namun tekanan dan debaran setiap pasukan untuk membina jentera terbaik semakin dirasai.
Pasukan Repsol Honda dilihat dalam tekanan apabila jentera prototaip yang mereka bangunkan terutama perubahan pada komponen aerodinamik jentera 2023 selain enjin mendapat reaksi kurang enak daripada juara dunia enam kali MotoGP, Marc Marquez.
Marquez merumuskan jentera Honda itu tidak ‘bersedia’ untuk merebut gelaran dunia MotoGP 2023 selepas turun melakukan ujian di Valencia semalam.
Tegas Marquez, dia gembira dengan kemajuan enjin tetapi pasukan itu memerlukan kerja lebih keras sekiranya berhasrat setanding dengan pasukan lain.
“Ya sudah tentu, saya menjangkakan lebih kerana anda sentiasa mahukan lebih dan lebih daripada jentera ini.
“Saya tidak boleh mengatakan saya kecewa, kerana Honda melakukan persediaan dan mereka mencuba serta membawa jentera baharu, tetapi kami perlukan lebih untuk berjuang memburu kejuaraan.
“Tetapi apa yang kami terima pada ujian di Valencia ini kami seakan-akan tidak berjuang untuk merebut gelaran,” kata Marquez.
Marquez turut mengakui jentera prototaip itu tidak banyak peningkatan dan serupa jentera RC213V yang ditunggangnya sewaktu perlumbaan di Valencia pada Ahad lalu.
Ketua pasukan Repsol Honda, Alberto Puig juga tidak berpuas hati dengan hasil keputusan ujian tersebut.
“Kami mahu mencuba konsep jentera yang berbeza dan kami menjangkakan hasil yang lebih baik nanti.
“Kami mendapati beberapa perkara positif tetapi tidak seperti yang kami jangkakan, jadi kami perlu bekerja keras untuk mendapatkan pelarasan terbaik pada ujian seterusnya,” tegas Puig. – AGENSI