LONDON – Bek kanan Chelsea, Reece James menerima berita menyedihkan apabila dia tidak disenaraikan dalam skuad England yang akan berangkat ke saingan Piala Dunia 2022 di Qatar hujung bulan ini.
Pemain Chelsea itu terdesak untuk menyertai skuad The Three Lions meskipun sedang berdepan kecederaan lutut ketika bertemu AC Milan bulan lalu sehingga menyebabkan dia terpaksa menjalani pembedahan.
Walaupun dia yakin sempat cergas bagi membantu England pada pusingan kalah mati pada Piala Dunia nanti, namun sumber dalaman pasukan mendedahkan, pengurus, Gareth Southgate enggan mengambil risiko.
“Reece (James) memang yakin proses pemulihannya lebih cepat berbanding jangkaan awal. Dia berkata, dia mungkin akan cergas sepenuhnya pada awal Disember nanti walaupun terlepas saingan peringkat kumpulan.
“Bagaimanapun, Gareth (Southgate) enggan mempertaruhkan nasib pasukan dan memilih untuk tidak mengambil risiko tersebut. Ia berita yang kurang menyenangkan buat Reece kerana dia yakin akan pulih sebelum Piala Dunia,” katanya.
Southgate dijangka menamakan senarai akhir 26 pemain yang bakal menggalas tugas pada Piala Dunia hari ini dengan beberapa pemain utama mungkin tercicir akibat kecederaan.
Selain James, rakan sepasukannya di Chelsea, Ben Chilwell serta dua pemain Manchester City, Kyle Walker dan Kalvin Phillips yang masih cedera mungkin akan turut terlepas peluang beraksi di Piala Dunia nanti. – AGENSI