fbpx

Kemalangan ngeri bas, kereta api ragut 17 nyawa di Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGKOK – Sekurang-kurangnya 17 penumpang terbunuh dan berpuluh-puluh  yang lain  cedera dalam kemalangan ngeri melibatkan sebuah kereta api dan bas di Thailand hari ini, kata pihak berkuasa.

Nahas  berlaku kira-kira 50 kilometer ke timur ibu kota Thailand, Bangkok ketika bas  itu dalam perjalanan menuju ke sebuah kuil di wilayah Chachoengsao untuk upacara keagamaan penganut Buddha,  kata seorang ketua polis daerah.

“Angka kematian yang kami terima setakat ini ialah 17 orang,” katanya yang memberitahu, kemalangan berlaku kira-kira pukul 8 pagi (waktu tempatan).

Gabenor Chachoengsao,  Maitree Tritilanond memberitahu pemberita bahawa sekurang-kurangnya 29 orang cedera dalam insiden itu.

 

MANGSA terbaring di kawasan landasan selepas kemalangan ngeri itu. – AFP

 

Beberapa gambar yang dikongsi petugas kecemasan menunjukkan lokasi kejadian dipenuhi sisa, logam dan barang milik penumpang  yang bertaburan dengan sejumlah mayat dilihat di berhampiran gerabak kereta api.

Bas itu ditemui dalam keadaan terbalik, bumbungnya  tercabut. Beberapa petugas penyelamat berkata, sebuah kren diperlukan untuk mengangkat kenderaan tersebut.

Jumlah kecederaan dan kematian juga dijangka meningkat.

Kemalangan maut kerap berlaku di Thailand ekoran keadaan jalan raya yang  berbahaya dan  sikap pemandu yang gemar memandu laju di samping pemandu mabuk.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Thailand merupakan negara dengan jumlah kemalangan maut kedua tertinggi dunia pada 2018. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI