KOTA BHARU – Dua lelaki ditahan selepas dipercayai menyebarkan gambar kertas undi pos menerusi aplikasi WhatsApps di dua lokasi berasingan di Gua Musang dekat sini semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kedua-dua lelaki berusia 20-an dan 50-an itu diberkas masing-masing pada pukul 11.30 malam dan pukul 2 pagi.
“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap suspek. Kita akan mengadakan perbincangan dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tindakan susulan.
“Penahanan mereka ini merupakan satu peringatan kepada orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya menyebarkan maklumat mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang boleh mengganggu gugat proses berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Muhamad Zaki turut memberitahu, kedua-dua lelaki itu ditahan reman selama empat hari bermula semalam sehingga Jumaat ini. – KOSMO! ONLINE