PETALING JAYA – Hasrat seorang warga emas mencari rezeki di perantauan musnah sekelip mata selepas muka dan badannya melecur 40 peratus dalam satu kejadian kebakaran di tempat kerjanya di Dabong, Kelantan, Mei lalu.
Muhamad Amin Seniman, 65, berkata, dia yang berasal dari Rawang, Selangor merantau ke negeri berkenaan dan bekerja sebagai tukang cuci dengan gaji sebanyak RM1,300.
Bagaimanapun, pada hari keempat bekerja, dia terlibat dalam kemalangan ketika sedang mencuci sebuah kolam ikan yang meranapkan impiannya untuk hidup selesa.
“Ketika sedang membersihkan kolam ikan, saya terhidu bau gas dari rumah dan terus ke dapur untuk melihat apa berlaku.
“Saya ingat sudah tutup dapur gas berkenaan tetapi sebenarnya saya hidupkan dapur gas itu menyebabkan api menyambar muka dan pakaian saya.
“Kejadian itu mengakibatkan kulit saya habis melepuh, pedih dan perit, sakitnya hanya Allah yang tahu, tidak tergambar dengan kata-kata,” katanya yang menerima rawatan di Hospital Kota Bharu.
Muhamad Amin berkata, selain jari-jarinya yang tidak dapat berfungsi dengan baik, pernafasannya turut terganggu apabila lubang hidung menjadi sempit kesan daripada kebakaran itu.
“Kadangkala tengah makan air keluar mencurah-curah melalui hidung sebab sekarang susah saya nak kawal. Kalau masa itu makan di kedai, saya terpaksa minta maaf dengan orang sekeliling.
“Tangan pula cedera teruk, jari jadi bengkok, keras dan sedikit bercantum. Nak pegang atau genggam barang pun susah. Mujur sesekali bekas abang ipar saya datang bantu bersihkan dan uruskan saya,” luahnya.
Muhamad Amin yang mendapat bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkata, dia kini menyewa sebuah bilik di Kampung Sungai Raya, Batu 9, Cheras dengan bayaran RM250 sebulan bagi meneruskan kehidupan yang masih samar.
“Saya tidak pasti nasib saya selepas ni. Sekarang pun susah saya nak dapatkan rawatan susulan sebab tiada kenderaan sesuai. Mahu naik e-hailing mahal pula dan saya tidak mampu.
“Bekas abang ipar mahu hantar tetapi saya tidak boleh duduk lama di atas motor, sakit satu badan. Helmet pun tak boleh pakai sebab masih sakit di bahagian kepala dan telinga,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban Muhamad Amin boleh menghulurkan bantuan ke akaun bank CIMB Muhamad Amin 7638966746 atau hubunginya di talian 013-793 1557.