GEORGE TOWN – “Bumbung jatuh seperti tangga, bermula dari depan dan sambung ke belakang. Tidak lama selepas itu, kami dengar lampu pula meletup dan kipas siling jatuh ke lantai.”
Demikian ujar seorang penghuni perempuan berusia 13 tahun selepas dia antara 30 yang lain selain tiga warden menjadi mangsa runtuhan bumbung Wisma Yatim Perempuan Islam Pulau Pinang, Jalan Scotland, di sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 9.15 malam itu, mereka terdiri daripada anak yatim berusia antara tujuh hingga 18 tahun itu dikatakan sedang berehat, mengulang kaji pelajaran dan menikmati makan malam.
Mereka berdepan detik cemas hampir setengah jam apabila struktur bumbung asrama yang dihuni mereka runtuh.
Ujarnya, ketika kejadian dia dan rakan-rakan sedang mengulang kaji pelajaran sebelum dikejutkan dengan satu dentuman kuat seperti guruh dan kaca pecah.
“Ketika itu, kami semua menjerit dan berlari menyorok tepi rak buku. Keadaan bertukar gelap dan habuk masuk ke dalam mata.
“Ketika hendak turun ke bawah, kami dengar suara rakan kami meminta tolong dari dalam bilik. Kami sampai sekarang masih teringat kejadian berlaku. Memang tak boleh lupa,” katanya yang mula menghuni di asrama tersebut sejak lima tahun lalu.
Asrama berkenaan menempatkan tempat tidur bagi kesemua penghuni perempuan.
Kejadian itu mengakibatkan tiga penghuni asrama berusia lapan, 10 dan 13 mengalami kecederaan pada belakang badan dan kepala.
Mereka ditemui dalam keadaan tersepit di hujung runtuhan bumbung di bilik asrama berkenaan sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) menggunakan jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, ketiga-tiga penghuni yang cedera itu hanya dirawat sebagai pesakit luar sebelum dibenarkan pulang.
“Polis menerima laporan kejadian kira-kira pukul 9.45 malam dan hasil pemeriksaan awal mendapati, terdapat 30 anak yatim perempuan tahun satu hingga tingkatan enam di bangunan itu.
“Runtuhan berlaku melibatkan asrama tempat tidur. Semasa kejadian, ada tiga penghuni sedang berehat, manakala yang lain sedang tuisyen dan ada yang ambil makanan.
“Tiga mangsa cedera telah diselamatkan warden dan pelajar-pelajar,” katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian.