fbpx

Berjalan 26 km ke rumah, gara-gara LRT tutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video Adam Eji menceritakan pengalamannya berjalan sejauh 26 km gara-gara LRT tutup petang semalam.

PETALING JAYA – Seorang pemuda terpaksa berjalan sejauh 26 kilometer (km) untuk pulang ke rumah disebabkan gangguan Transit Aliran Ringan (LRT) Rapid Rail melibatkan laluan Kelana Jaya petang semalam.

Bukan itu sahaja, dia perlu meredah hujan, cuba menaiki LRT di stesen-stesen yang lain di samping menaiki bas untuk pulang ke rumahnya di Lembah Keramat.

Itu yang diceritakan seorang pemuda menerusi TikTok Adam Eji mengenai pengalamannya yang mana dia berjalan dari Universiti Malaya (UM) ke LRT Kerinchi, namun disebabkan stesen itu tutup, dia mengambil keputusan meneruskan perjalanan ke Stesen LRT KL Sentral.

“Maka saya berjalan dari UM ke KL Sentral disebabkan LRT ‘down’. Nak balik, tak kira juga sebab dah kebulur. Sambil meredah hujan lebat berjalan kaki, anggap ini senaman kardio. Malaysia mahukan rakyatnya kekal sihat dan aktif,” katanya bercerita menerusi video itu.

Dalam pada itu, pemuda tersebut turut menunjukkan dia melepasi LRT Abdullah Hukum, LRT Bangsar serta tiba ke Stesen KL Sentral.

“Masa sampai (KL Sentral) memang ‘huru-hara’, semua orang macam ‘gila’ dalam itu. Selepas itu, saya ambil keputusan apa kata naik Monorail dan pergi ke Dang Wangi.

“Selepas itu, saya berjalan ke KLCC dalam hujan lebat, memang nak nangis waktu ini. Sampai di Stesen LRT KLCC rupanya tutup, kena berjalan lagi ke LRT Ampang. Tapi pun tutup juga, sakit hati betul,” katanya.

Dalam pada itu, dia kemudian mengambil keputusan menaiki bas dan turun ke depan sebuah hospital swasta serta berjalan lagi dalam keadaan basah lencun.

“Saya punya ‘power bank’ tinggal tujuh peratus saja dan saya ke LRT Jelatik. Laluan ke sana menakutkan, tapi tetap kena bayar (naik LRT),” katanya menuju ke stesen seterusnya ke rumah.

Kosmo! Online semalam melaporkan, sebanyak 16 stesen di sepanjang laluan perjalanan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya ditutup serta-merta ekoran berlaku gangguan berterusan sejak awal petang tadi.

Bagaimanapun, menerusi pemakluman oleh Rapid KL pagi tadi, 16 stesen LRT dari Stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park digantung operasi selama tujuh hari bermula hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI