KEGAGALAN skuad hoki remaja lelaki negara pada saingan Piala Sultan Azlan Shah (SOJC) 2022 di Johor Bahru tidak perlu diperdebatkan.
Rata-rata peminat arena hoki tanah air meluahkan rasa bimbang terhadap keupayaan skuad projek khas itu yang menamatkan kempen SOJC pada kedudukan tercorot daripada enam pasukan tanpa sebarang kemenangan.
Kebanyakan mereka gusar dengan peluang skuad Young Tigers itu yang akan turun selaku tuan rumah pada Piala Dunia Hoki Remaja 2023 di Kuala Lumpur hujung tahun depan.
Sebenarnya, keputusan SOJC sudah dijangka berdasarkan banyak faktor termasuk masa singkat pasukan itu dibentuk selain tiada pendedahan aksi antarabangsa.
Bukan itu sahaja, penolong jurulatih skuad senior, Muhamad Amin Rahim juga cuma mempunyai tempoh kurang sebulan sebelum SOJC berlangsung selepas dia diberikan mandat melatih pasukan tersebut.
Malah, Muhamad Amin sendiri bersikap realistik dengan peluang pasukannya apabila hanya empat orang pernah merasai pengalaman bermain aksi kompetitif antarabangsa berbanding 14 lagi pemain.
Bagi penulis, lebih baik tumbang sekarang daripada kalah memalukan sewaktu Malaysia menganjurkan Piala Dunia Hoki Remaja 2023 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil tahun depan.
Pastinya, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mempunyai perancangan untuk memberikan lebih banyak pendedahan antarabangsa dan tidak mustahil skuad remaja akan ‘berkampung’ di benua Eropah berbulan-bulan.
Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal menjelaskan matlamat utama adalah layak ke peringkat separuh akhir sekali gus menjadi antara empat pasukan terbaik pada Piala Dunia Hoki Remaja 2023.
“Jangan bimbang kerana tiada apa perlu disembunyikan. Kita membentuk pasukan bermula daripada kosong dan akan ada cabaran sepanjang perjalanan.
“Kita merancang siri jelajah selepas tamat SOJC. Semuanya masih dalam perbincangan tetapi tahun depan akan menjadi tahun yang sibuk buat skuad ini.
“Mereka akan diberikan sebanyak mungkin pendedahan kompetitif antarabangsa bermula saingan SOJC ini,” katanya.
Bekas pemain kebangsaan yang pernah menjawat jawatan Setiausaha Agung MHC, Maninderjit Singh juga merasakan skuad projek khas memerlukan banyak ‘kerja rumah’.
Menurutnya, satu pelan periodisasi perlu dilaksanakan bagi merapatkan jurang dengan gergasi-gergasi dunia antaranya juara bertahan, Argentina, Jerman, India dan Australia.
“Ia bukan satu perkembangan yang kita mahukan tambahan pula pasukan ini mempunyai kurang dari beberapa bulan jika tolak saingan hoki domestik dan sebagainya sebelum bertanding di Piala Dunia Remaja.
“Tempoh ini mereka perlu gunakan sebaiknya jika mahu lihat pasukan negara berada di separuh akhir seperti yang ditetapkan oleh MHC,” katanya.
Pencapaian terbaik skuad negara di pentas Piala Dunia Hoki Remaja adalah tempat keempat sebanyak tiga kali pada edisi 1979 di Perancis, 1982 di Malaysia dan 2013 di New Delhi, India.
Edisi terakhir di Bhubaneswar, India tahun lepas menyaksikan skuad negara berjaya menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik selepas tewas 1-4 kepada Sepanyol pada klasifikasi tujuh dan lapan.