fbpx

25 tahun Rossa, penghibur ‘papan atas’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ROSSA meraikan kesuksesan kariernya selama 25 tahun dengan penganjuran Konsert Rossa 25th Shining Years di Dewan Plenary, KLCC minggu lalu.

IBARAT sekuntum bunga indah ditiup angin dan menari-nari di tengah taman, begitulah gambaran penulis terhadap penyanyi tersohor Indonesia, Datuk Seri Rossa ketika berada di atas pentas konsertnya.

Ligat dan bertenaga, namun dari sisi lain, pemilik nama lengkap Sri Rossa Roslaina Handiyani itu terlihat anggun dan jelita sewaktu menjayakan konsert Rossa 25th Shining Years di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Rabu lalu.

Dalam suasana yang cukup gamat dengan sorakan dan teriakan sekitar 3,000 penonton, Rossa seperti ‘menyihir’ peminatnya dengan persembahan yang cukup menghiburkan.

Menyelak tirai persembahan, Rossa muncul dari belakang pentas mendendangkan lagu berjudul As One sebagai pembuka malam konsert.

PADA malam konsert, Rossa anggun menggayakan busana berharga RM235,000 rekaan pereka fesyen terkenal Belanda, Ven Herpen.

Dengan menggayakan busana gaun berona hijau rekaan pereka fesyen Belanda, Iris Ven Herpen berharga RM235,000, Rossa berjaya menambat hati peminat di Malaysia yang telah lama merindui persembahannya.

“Terima kasih Kuala Lumpur! Sudah dua tahun saya tidak datang ke mari (Malaysia). Akhirnya saya dapat bertemu dengan kamu semua yang dirindui. Alhamdulillah,” tutur Rossa saat selesai membuat persembahan pembukaan.

Usikan

Bijak melayan penonton, sesekali Rossa menyelitkan jenaka sehingga membuatkan hadirin tidak kering gusi melihat aksinya yang manja dan bersahaja.

Ketika membaca nama hadirin terhormat termasuk rakan-rakan artis yang hadir pada malam tersebut melalui skrin monitor, Rossa tiba-tiba terkedu dan menjerit saat membaca sepotong nama.

Perasaan teruja dan gembira menerpa wanita bertubuh kecil molek itu apabila mengetahui sahabatnya, penyanyi Cakra Khan turut berada di situ menyaksikan persembahannya.

“Cakra Khan ada? Mana dia? Masya-Allah, Cakra ada di sini malam ini. Mari naik ke pentas,” jerit Rossa teruja.

KEHADIRAN Cakra Khan (kiri) di konsertnya membuatkan Rossa cukup teruja dan mengajak rakan baiknya itu turut sama bernyanyi di atas pentas.

Ketika Cakra melangkah naik ke atas pentas, penonton di dalam dewan seperti diserang histeria melihat susuk lelaki itu pada malam tersebut.

Bahkan, Cakra turut menyumbangkan suara serak-serak basahnya yang mahal dengan menyanyikan lagu Kekasih Bayangan secara acapella.

Tidak lepas daripada diusik peminat tentang gosip hubungannya bersama penyanyi Afgan, Rossa berseloroh dengan nada tegas, memberitahu, pelantun Terima Kasih Cinta itu tiada di Kuala Lumpur menyaksikan persembahannya.

“Afgan tidak ada,” katanya sambil mengiringi Cakra turun dari pentas.

Lunak merdu

Konsert yang dianjurkan sempena sambutan ulang tahun ke-25 hayat seni Rossa tersebut diteruskan dengan persembahan menerusi seleksi lagu popular miliknya.

Rangkaian lagu seperti Takkan Berpaling, Masih, Tak Sanggup Lagi dan Tega mengajak penonton turut bernyanyi bersama-sama, sebelum penyanyi berusia 44 tahun itu meneruskan kehangatan malam dengan lagu Takdir Cinta, Atas Nama Cinta dan Ayat-Ayat Cinta.

ROSSA menghiburkan sekitar 3,000 penonton yang membanjiri Dewan Plenary, KLCC minggu lalu dengan seleksi lagu popularnya.

Segmen kedua memperkenalkan maestro muzik terkenal Indonesia, Andi Rianto yang sebelum ini pernah ‘menghadiahkan’ beberapa buah lagu buat Rossa.

Vokal lunak merdu penyanyi asal Sumedang, Jawa Barat, Indonesia itu beralun indah ketika mendendangkan lagu Hati Yang Terpilih, Perawan Cinta, Aku Bukan Untukmu, Terlalu Berharap dan Sekali Ini Saja, sekali gus membuai emosi penonton.

Terima kasih Malaysia

Pentas kembali gamat apabila Rossa memanggil penyanyi jemputan yang juga rakan baiknya, Judika mendendangkan lagu duet berjudul Terlanjur Cinta, Hati Yang Kau Sakiti dan Aku Yang Tersakiti.

Selain Judika, pentas konsert turut diserikan dengan persembahan daripada Hael Husaini apabila menghadiahkan vokal mantapnya menerusi lagu Kamu Yang Ku Tunggu dan Ku Menunggu.

Pada malam penuh bermakna tersebut, penyanyi legenda negara, Datuk Amy Search juga diberi penghargaan diajak berduet dengan Rossa menerusi lagu Fantasia Bulan Madu.

PERSEMBAHAN Rossa bersama Judika mendapat jeritan luar biasa daripada penonton apabila penyanyi asal Medan itu melontarkan vokalnya dengan penuh bertenaga.

Tanpa melengahkan masa, Amy menghangatkan suasana malam walaupun hadir sebagai penonton dengan memenuhi permintaan Rossa apabila melontarkan vokalnya yang kekal mantap seperti selalu.

Durasi tiga jam konsert juga seperti tidak terasa apabila Rossa memasuki segmen terakhir menerusi lagu-lagu rancak seperti Malam Pertama, Body Speak, Pudar, Sakura dan Hey Ladies dengan mengenakan busana penuh bergemerlapan.

Persembahan akhir sebelum meninggalkan gelanggang pentas, Rossa sepertinya cukup puas apabila selepas dua tahun, dia kembali semula ke Malaysia bagi mengubati kerinduan peminatnya di sini.

“Terima kasih untuk kalian kerana membuatkan saya gembira pada malam ini,” kata Rossa sambil melambai-lambaikan tangannya kepada para peminatnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI