SHAH ALAM – Kerajaan negeri akan menyumbang penggunaan 20 unit Bas Smart Selangor bagi membantu Rapid KL mengatasi masalah gangguan Operasi Stesen Transit Aliran Ringan (LRT), mulai esok.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perbincangan akan dilakukan bersama Rapid KL bagi tujuan proses pertindihan atau tidak membawa kesan kepada perjalanan pengguna.
Katanya, pihaknya akan memaksimumkan penggunaan 20 unit bas daripada 160 laluan yang telah ada ketika ini.
“Kerajaan akan mengambil sebahagian daripada laluan itu untuk menambah jumlah bas dengan koordinasi Rapid KL.
“Perkara ini penting kerana sebahagian bas itu mempunyai laluannya yang telah diputuskan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD). Pelarasan dengan Rapid KL membantu dari segi kelancaran dan efisyen penggunaan bas itu,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Terdahulu, media melaporkan sebanyak 16 stesen Stesen LRT dari Stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park digantung operasi selama tujuh hari bermula hari ini. – KOSMO! ONLINE