PETALING JAYA – Sebanyak 22 kertas siasatan dibuka manakala terdapat empat tangkapan telah dibuat Polis Di Raja Malaysia (PDRM) berhubung kesalahan sepanjang berkempen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengarah Operasi PRU15 Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, lima kertas siasatan dibuka di Johor, masing-masing tiga di Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, dua di Perak manakala masing-masing satu di Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Kelantan, Sabah dan Sarawak.
“Kes pertama melibatkan seorang lelaki ditahan kerana dipercayai melakukan peras ugut terhadap pengadu di Bilik Gerakan BN, Bukit Bendera di Jalan Padang Tembak, Ayer Itam Pulau Pinang pada pukul 4.30 petang semasa berkempen.
“Suspek mendakwa dia adalah gengster di kawasan terbabit dan lelaki itu turut meminta pengadu membuat pembayaran jika mahu memasang bendera parti untuk kempen di kawasan terbabit serta suspek akan membuat kacau jika pengadu mengingkari tuntutannya,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini.
Dalam pada itu bagi kes kedua pula membabitkan laporan seorang pengadu yang mendakwa seorang lelaki telah memuat naik gambar kertas undi yang memaparkan nama parti dan calon yang bertanding di Parlimen Gua Musang dalam aplikasi Whatsapp.
“Pengadu berasa musykil bagaimana kertas undi tersebut diperoleh dan mempersoalkan tujuan ia dimuat naik dalam kumpulan WhatsApp tersebut.
“Kes berkenaan sedang disiasat polis di bawah Seksyen 3 (1) (J) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988,” katanya.
Manakala, kes ketiga pula seorang pengadu mendakwa seorang lelaki telah membuang bendera yang dipasang bersama ahli kempen BN ketika sedang memasang bendera parti pada jam 12.15 tengah malam di Jalan JB Air Hitam, Senai, Johor.
Jelasnya, ketika anggota polis yang tiba di lokasi mendapati seorang lelaki mabuk telah membuat provokasi dengan cara mematahkan kayu bendera yang dipasang sebelum berjaya ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE.