GEORHE TOWN – Tiga penghuni asrama yang cedera dalam kejadian runtuhan struktur bumbung di Wisma Yatim Perempuan Islam Pulau Pinang, Jalan Scotland di sini malam tadi dilaporkan hanya menerima rawatan pesakit luar di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, A’Azelan Hassan berkata, ketiga-tiga mangsa berusia lapan, 10 dan 13 tahun itu sudah dibenarkan pulang pada pukul 5 pagi tadi.
“Keadaan mereka stabil dan hanya mengalami kecederaan ringan. Mereka termasuk penghuni perempuan lain kini ditempatkan di The Regional Centre for Education in Science and Mathematics (RECSAM) di Gelugor,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini tadi.
Beliau memberitahu lagi, ketiga-tiga mangsa itu dilaporkan mengalami cedera ringan pada belakang leher, kepala dan badan.
Mengulas mengenai kejadian berlaku, katanya, mangsa tersebut ditemui dalam keadaan tersepit di hujung struktur bumbung yang runtuh di bilik asrama yang terletak di aras dua bangunan berkenaan.
Semalam, Kosmo! Online melaporkan berlaku kejadian runtuhan bumbung bilik asrama yang menempatkan seramai 33 orang anak yatim perempuan pada pukul 9.40 malam. – KOSMO! ONLINE