fbpx

Tiga pegawai Imigresen jadi petualang seludup migran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KHAIRUL (tengah) menunjukkan pasport migran yang tidak menerima cop Imigresen ketika memasuki negara ini di KSAB, bulan lalu.

JOHOR BAHRU – Seramai tiga pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ditahan selepas disyaki terlibat dengan kegiatan sindiket penyeludupan dan pemerdagangan manusia, melibatkan migran yang telah disenarai hitam oleh kerajaan Malaysia.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, kesemua mereka ditahan dalam beberapa operasi yang dijalankan pihaknya, sejak 2 Oktober lalu.

Beliau turut memberitahu kesemua pegawai yang ditahan akan disiasat dan dihukum sewajarnya sekiranya didapati bersalah.

“Operasi pertama yang dijalankan adalah pada 2 Oktober lalu di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), pegawai terlibat telah ditahan dan disiasat, kini berada dalam jaminan polis.

“Operasi kedua dijalankan pada 27 Oktober di Kota Bharu, Kelantan namun tiada penglibatan daripada pegawai Imigresen, manakala ketiga di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2 pada 1 November lalu, seorang pegawai Imigresen telah direman dan akan dituduh sewajarnya.

“Terbaharu, di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) kelmarin, seorang lagi pegawai Imigresen telah disiasat,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di sini, hari ini.

Tambah Khairul Dzaimee, pihaknya menegaskan bahawa jabatan berkenaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai yang didapati bersalah dan tindakan buang kerja akan diambil.

“Saya tegaskan tiada kompromi, semua pihak terlibat akan disiasat dan didakwa dengan sewajarnya seperti dimaklumkan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, semalam.

“Penglibatan pegawai-pegawai ini bagaimanapun tidak menggambarkan tahap integriti Jabatan Imigresen, ini hanyalah kes terpencil yang melibatkan beberapa orang pegawai sahaja,” tegasnya.

Pada 12 Oktober lalu, JIM telah menahan seramai 25 migran Indonesia yang telah disenarai hitam namun dibawa masuk oleh sindiket, manakala enam migran India ditahan di KLIA 2 pada 1 November lalu.

Sementara itu, 49 migran warga Myanmar termasuk 16 wanita pula ditahan di Kota Bharu, Kelantan manakala kelmarin, seramai 12 migran warga Indonesia ditahan di BSI. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI