KLANG – Kegagalan dalam menyelesaikan isu jalan dan kemudahan infrastruktur membuatkan penduduk Parlimen Klang mula mengalihkan sokongan mereka kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Calon BN, Tee Hooi Ling berkata, situasi itu dilihat hasil reaksi penduduk menerusi kempen dijalankannya sepanjang lima hari di kalangan penduduk kawasan tersebut.
“Kalau dulu semasa saya ikut calon BN berkempen didapati ramai penduduk enggan melayan sangat calon.
“Namun situasi berbeza apabila ramai yang melayan sapaan selain memaklumkan akan mengundi saya pada hari mengundi,” katanya ketika kempen mengundi di sebuah tokong Cina di Taman Eng Ann, di sini, hari ini.
Parlimen Klang yang merupakan kubu kuat Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini disandang Charles Santiago dan kini diwakili V. Ganabatirau.
Hooi Ling memberitahu, penduduk memaklumkan bahawa wakil rakyat sebelum ini gagal menyelesaikan masalah mereka meskipun telah diberi mandat selama 14 tahun.
Ujarnya, antaranya adalah jalan rosak, infrastruktur serta masalah sampah sarap termasuk pembuangan secara haram.
“Fokus utama saya juga adalah menjadikan Parlimen Klang lebih indah dan ceria berikutan mempunyai potensi besar untuk menjadi pusat pelancongan di negeri ini.
“Sudah tentu, saya berikrar dan berusaha menyelesaikan kesemua isu yang dibangkitkan oleh mereka sekiranya diberikan peluang untuk menjadi wakil mereka di Parlimen,” katanya. – KOSMO! ONLINE