SABAK BERNAM – Barisan Nasional (BN) turut bersedia menawarkan kemudahan komputer riba kepada pelajar golongan M40 dan guru sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tawaran baharu itu antara penambahbaikan yang perlu dilaksanakan dalam manifesto jika terus kekal mentadbir negara.
Kata beliau, kemudahan komputer riba sememangnya diperlukan terutama guru dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
“Keperluan itu termasuk bagi anak-anak golongan M40 yang turut dibantu bagi memudahkan proses pembelajaran
“Permintaan dalam kalangan golongan itu dan guru memang ada. Kita berjanji mereka akan mendapat komputer riba percuma jika kita menang Putrajaya kelak,” katanya ketika berucap pada Program Budi Disanjung Parlimen Sungai Besar di Parit 16, Sungai Besar di sini, malam tadi.
Jelas Ahmad Zahid, BN turut mahu memastikan nasib petani dan pesawah di Sabak Bernam, Sungai Besar dan Tanjong Karang diberi perhatian serius.
“Apabila diberi mandat nanti, nasib golongan itu akan lebih terbela dan diutamakan.
“Kita akan menyalurkan pelbagai bantuan dan inisiatif bagi membantu meningkatkan taraf ekonomi mereka,” katanya.
Kelmarin, BN mengumumkan Perancangan Amal dan Usaha BN untuk Malaysia yang tercinta (PADU) sebagai tawaran untuk rakyat bagi PRU15. – KOSMO! ONLINE