PETALING JAYA – Selepas 24 jam menjalani pembedahan dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), penyanyi Zamani Slam kini dilaporkan semakin stabil.
Menurut isterinya, Nur Juliana Abd. Rani, Zamani mulai sedar beberapa jam selepas pembedahan dan kini dalam proses dipindahkan ke wad biasa, namun belum boleh menerima pelawat.
“Syukur alhamdulillah berkat doa semua, suami saya sekarang sudah sedar dan berada bawah pemantauan doktor.
“Seperti mana yang semua sedia maklum pembedahan yang dijalankan adalah satu pembedahan besar, maka untuk pulih dan kembali sihat pasti mengambil sedikit masa.
“Nasihat doktor, suami perlu banyak berehat supaya rawatan dan pemulihan berjalan lancar dan kami memohon maaf kerana tidak dapat menerima pelawat buat masa ini,” katanya kepada Kosmo! Online.
Pada masa sama, Nur Juliana turut menzahirkan terima kasih kepada orang ramai yang mendoakan kesembuhan buat insan kesayangannya itu.
“Diharap semua dapat memahami keadaan Zamani dan keluarga ketika ini. Kami mengucapkan ribuan terima kasih untuk doa dan ucapan selamat daripada semua. Teruslah mendoakan Zamani segera sembuh dan sihat semula,” katanya.
Semalam (Isnin) penyanyi Gerimis Mengundang itu menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang melengkung akibat penyakit skoliosis di sebuah pusat perubatan di Cheras, .
Difaham, Zamani dibawa masuk ke dewan bedah sekitar pukul 8 pagi dan prosedur pembedahan memakan masa hampir tujuh jam.
Tempoh pemulihan penyanyi berusia 51 tahun itu dijangka mengambil masa antara dua hingga enam minggu, manakala tiga bulan diperlukan untuk sembuh sepenuhnya sebelum boleh kembali aktif menyanyi.- KOSMO! ONLINE