COPENHAGEN, DENMARK – Sekurang-kurangnya 15,000 orang mati di Benua Eropah disebabkan oleh cuaca panas sepanjang tahun ini, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin, dengan Sepanyol dan Jerman antara negara paling teruk terjejas.
Bulan Jun hingga Ogos 2022 adalah tempoh paling panas di Eropah sejak catatan rekod suhu bermula.
Suhu ekstrem itu membawa kepada kemarau paling buruk yang pernah disaksikan di benua berkenaan sejak Zaman Pertengahan.
“Berdasarkan data negara-negara Eropah yang dikemukakan setakat ini, dianggarkan sekurang-kurangnya 15,000 orang mati akibat kepanasan melampau pada 2022.
“Hampir 4,000 kematian berlaku di Sepanyol, lebih 1,000 kematian di Portugal, lebih 3,200 korban di Britain dan sekitar 4,500 kematian di Jerman dilaporkan oleh pihak berkuasa kesihatan masing-masing sepanjang tempoh 3 bulan musim panas tahun ini.
“Anggaran ini dijangka meningkat apabila lebih banyak negara melaporkan kematian akibat haba panas,” kata Pengarah Serantau WHO untuk Eropah, Hans Kluge dalam satu kenyataan sambil menggesa tindakan pantas dilakukan.
Tanaman di negara-negara pertanian utama di Eropah layu, kerana musim kemarau teruk yang turut memberi tekanan pada grid kuasa di benua itu.
Gelombang haba berturut-turut antara Jun dan Julai 2022, menyaksikan suhu mencecah 40 darjah Celsius buat kali pertama di Britain.
“Tekanan haba yang berlaku pada tubuh badan apabila manusia gagal menyejukkan dirinya menjadi punca utama kematian berkaitan cuaca di Eropah,” kata WHO.
Menurutnya, suhu melampau berbahaya kepada mereka yang menghidap penyakit jantung kronik, masalah pernafasan dan diabetes.
Agensi kesihatan antarabangsa itu menyatakan bahawa peningkatan gelombang haba dan cuaca ekstrem lain akan ‘mengakibatkan lebih banyak penyakit dan kematian’ dalam dekad akan datang melainkan tindakan ‘drastik’ diambil. – AFP