PETALING JAYA – “Yang sebenarnya satu undi untuk PN (Perikatan Nasional) bermakna satu undi untuk PH (Pakatan Harapan)”.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Pengerusi PN yang beriya-iya mahu bersama PH sebelum ini.
“Maka tidak mustahil PN akan bekerjasama juga dengan PH akhirnya terutama setelah gagal peroleh cukup kerusi untuk bentuk kerajaan.
“Sebab itu PPBM tampak ‘down’ apabila ‘khemah besar’ tak menjadi. BN ‘of course’ tidak ada sebab pun untuk ‘down’. Buat apa perlu ‘down’
“”What a joke” Lantak kome le dengan ‘khemah besar’ kerana BN tetap BN,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Ahmad Zahid berkata, rakyat perlu beri kemenangan besar kepada BN supaya tiada peluang PH dan PN bekerjasama bentuk kerajaan.
“Kerajaan gagal 22 bulan + kerajaan gagal 17 bulan = musibah,” katanya.
Beliau seterusnya menerangkan satu undi untuk PH bermakna satu undi untuk DAP kerana DAP merupakan parti komponen dan pembuat dasar PH.
Dakwa beliau, DAP malah tampak lebih menguasai semasa PH jadi kerajaan 22 bulan dengan timbalan menteri daripada DAP lebih berkuasa berbanding menteri.
“Mungkin DAP diminta kurang menampil kali ini sebab mahu sembunyi fakta ini,” dakwanya lagi.
Selain itu, Zahid dalam nada sinis berkata, satu undi untuk Gerakan Tanah Air (GTA) pula satu undi untuk ‘manifesto bukan kitab suci’.
“Juga satu undi untuk ‘rakyat dituduh pemalas’ dan ‘rakyat perlu ikat perut’, satu undi untuk GTA bermakna satu undi untuk ‘bon samurai’.
“Bon samurai konon untuk bayar hutang, tetapi hutang makin bertambah,” tambahnya.
Justeru, ujar beliau, satu undi untuk PH, PN dan GTA bermakna satu undi untuk meranapkan lagi masa depan Malaysia.
“Satu undi untuk BN bermaksud satu undi untuk mengembalikan kestabilan dan kemakmuran negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE