LONDON – Anak perempuan kepada seorang senator Nigeria dituduh menyeludup masuk seorang lelaki gelandangan ke Britain sebelum mengambil organ miliknya untuk diberikan kepada defendan, lapor akhbar Metro UK semalam.
Sonia Ekweremadu, 25, dibicarakan di Mahkamah Jenayah Pusat, London bersama-sama bapanya, Ike Ekweremadu, 60, ibunya, Beatrice Ekweremadu, 56 dan seorang doktor, Obinna Obeta, 50.
Keempat-empat mereka didakwa berkomplot merancang perjalanan seorang individu dengan tujuan eksploitasi, bertentangan dengan Akta Undang-Undang Jenayah 1977 antara 1 Ogos 2021 hingga 5 Mei tahun ini.
Pendakwa raya mendakwa mereka berkomplot bersama seorang ahli keluarga yang lain, Isaac Ekweremadu, untuk membawa seorang gelandangan berusia 21 tahun dari Lagos ke London bagi mengambil buah pinggangnya untuk diberi kepada Sonia.
Sonia pada 2019 didiagnos dengan glomerulosklerosis segmental fokus, sejenis penyakit buah pinggang yang jarang berlaku. Dia ketika itu perlu menjalani rawatan dialisis.
Keempat-empat suspek ditahan selepas mangsa yang tinggal di jalanan di Lagos memberitahu polis dia menjadi mangsa aktiviti penyeludupan manusia.
Lelaki berkenaan memberitahu pegawai bahawa dia diseludup masuk ke Britain pada 20 Februari dan dibawa ke Hospital Percuma Diraja di London untuk menjalani ujian tanpa kerelaannya.
Mangsa berkata, dia enggan membenarkan pasukan perubatan mengambil buah pinggangnya selain turut mendedahkan dibawa tinggal di sebuah rumah di mana dia dilayan seperti hamba.
Dia kemudian berjaya melarikan diri sebelum melaporkan hal itu kepada polis selepas tiga hari tinggal di jalanan, demikian menurut perbicaraan di mahkamah.
Sementara itu, Ike, yang merupakan bekas timbalan presiden Senat Nigeria dan isterinya ditahan di Lapangan Terbang Heathrow selepas tiba dari Turkiye.
Sonia dan ibunya kini diikat jamin, manakala Iken dan Obeta kekal dalam tahanan.
Tiada pengakuan dibuat semalam dan Hakim Mark Lucraft menetapkan 16 Disember depan sebagai tarikh perbicaraan seterusnya. – Agensi