JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan insiden seorang wanita melempar kerusi ke arah peserta tarian K-pop yang sedang membuat persembahan di sebuah pusat beli-belah, lapor laman berita Suara.com hari ini.
Berdasarkan video tersebut, penari berkenaan dilihat sedang asyik melakukan tarian K-pop di pusat beli-belah berkenaan di Makassar, wilayah Sulawesi Selatan.
Seorang wanita yang bersembunyi di sebalik kios menjual baju, secara tiba-tiba melempar sebuah kerusi berwarna hijau ke arah penari tersebut.
Kerusi itu bagaimanapun tidak mengenai peserta berkenaan dan dia dilihat meneruskan tariannya.
Video tersebut menjadi tular dengan netizen memberikan pelbagai komen.
“Bukan ibu saya,” kata seorang netizen.
“Apa masalahnya? Bukankah dia cuma menari sahaja. Lebih baik begitu daripada dia melakukan perkara yang bukan-bukan,” kata seorang lagi pengguna media sosial. – Agensi