fbpx

Bolehkah calon muda PRU pikul tanggungjawab besar?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara calon muda dari Dr. Nurul Ashikin Mabahwi (kiri), Adam Adli Abdul Halim (tengah) dan Nurul Fadzilah Kamaluddin (kanan) yang bertanding pada PRU15 kali ini.
WARTAWAN EKSEKUTIF, SITI A’ISYAH SUKAIMI

PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU15) bukan sahaja menyaksikan muka baharu mewarnai se­narai calon, malah usia bawah 30 tahun juga menjadi calon.

Selain Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasio­nal (PN), Pakatan Harapan (PH) yang menampilkan calon-calon muda, terdapat juga golongan belia yang menawarkan diri bertan­ding atas tiket bebas.

Berdasarkan kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh, seramai 1,386 calon di­sahkan bertanding pada PRU15 kali ini.

Mengikut pecahan usia bawah 50 tahun, di peringkat Parlimen, seramai 19 calon berusia 21 hingga 29 tahun, 129 calon (30 hingga 30 tahun) dan 241 calon (40 hingga 49 tahun).
Bagi Dewan Undangan Ne­geri (DUN) pula, seramai 17 calon berusia 21 hingga 29 tahun, 75 calon (30 hingga 39 tahun) dan 106 calon (40 hingga 49 tahun).

Satu yang perlu diambil kira adalah terdapat dalam kala­ngan calon-calon muda ini tidak dikenali pe­ngundi tempatan selain ada yang masih baharu dalam dunia politik, sekali gus timbul keraguan sama ada boleh memikul tanggungjawab untuk membawa suara rakyat.

Dekan Program Komunikasi Media Baharu, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Prof. Madya Dr. Mohd. Faizal Kasmani menyifatkan, penampilan belia sebagai calon PRU15 kali ini me­nunjukkan usaha parti-parti politik dalam meremajakan parti.

Katanya, sebagai calon muda dan baharu, sudah tentu mereka turut berdepan cabaran untuk mendapatkan undi daripada pengundi di kawasan setempat.

“Pertama sekali mereka kena kenali dan tahu kawasan di situ. Walaupun ada yang kata parti penting, tetapi keadaan sekarang sama rata berbanding dahulu yang mana ada pihak dominan.

“Semua parti dilihat sama rata dan sebab itulah, pilihan raya kali ini sangat menarik. Rakyat keliru tidak tahu hendak memilih calon, jadi ini peluang tonjolkan diri serta mengenali sesuatu kawasan tersebut,” katanya.

Mohd. Faizal yang juga pengkhususan bidang komunikasi politik berkata, isu-isu yang dibawa calon-calon tersebut juga tidak boleh hanya berkisarkan kepada kestabilan ekonomi, tetapi lebih spesifik kepada kawasan tersebut.

“Setiap parti mempunyai manifesto sendiri, tetapi mereka juga mesti ada manifesto yang spesifik untuk memenangi hati rakyat di kawasan itu. Apakah yang ingin diperjuangkan kerana setiap tempat itu unik,” jelasnya.

Katanya, walaupun era sosial media pada masa ini memberi kelebihan dalam menjalankan kempen, namun kempen konvensional dari rumah ke rumah dan bertemu pengundi secara bersemuka juga penting.

“Media sosial sangat ‘berkuasa’ terutama untuk mencapai kumpulan pengundi 40 tahun ke bawah tapi kempen secara tradisional juga pen­ting,” katanya.

Ujarnya, penampilan calon muda juga bukan bermaksud mesti menang, namun pencalonan pada PRU15 adalah langkah pertama untuk bergerak dan meneruskan perjalanan dalam dunia politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI